Tiada masalah parti mesra BN diberikan kerusi, asal bukan kerusi tradisi MIC - Presiden

Presiden Kongres India Malaysia (MIC) Tan Sri SA Vigneswaran (tengah) ketika menghadiri Perhimpunan Agung MIC Ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Turut hadir Bendahari Agung Barisan Nasional Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua, kanan).

12/12/2021 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis -- MIC menegaskan tiada masalah bagi parti itu, sekiranya Barisan Nasional (BN) ingin memperuntukkan kerusi kepada rakan sekutu atau parti mesra komponen BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), asalkan ia bukan kerusi tradisi yang ditandingi MIC.

Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata parti itu bersetuju dengan cadangan untuk memberi peluang kepada parti-parti ‘Friends of BN’ untuk bertanding dalam PRU15 kelak, namun ia harus berdasarkan pertimbangan yang munasabah.

“Yang Berhormat Datuk Seri (Ahmad Zahid Hamidi) telah mengumumkan bahawa salah satu parti dalam Friends of BN akan diberi kerusi untuk bertanding di bawah tiket BN pada pilihan raya umum yang akan datang.

“... dan perkara ini akan dibawa ke Majlis Tertinggi BN untuk diputuskan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC)  di sini, hari ini.

Sementara itu, Vigneswaran juga meminta pucuk kepimpinan BN agar memperuntukkan kerusi yang adil dan berpatutan kepada parti berusia 75 tahun itu dalam PRU15, nanti.

Beliau berkata amat penting bagi MIC untuk mendapat kerusi-kerusi tradisi atau baharu berasaskan kepada landskap dan perubahan politik di peringkat akar umbi.

“Maksud saya ialah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Parlimen yang MIC  mempunyai peluang untuk memenangi kerusi berkenaan,” katanya.

Vigneswaran yang juga Duta Khas Malaysia ke Asia Selatan menggesa supaya pembahagian kerusi untuk parti gabungan BN dilakukan secepat mungkin supaya kepimpinan parti itu dapat melantik penyelaras bagi memastikan kemenangan BN pada PRU15.

Katanya, MIC kini mempunyai pasukan yang berkebolehan dan berdedikasi selepas pemilihan barisan kepimpinan parti itu baru-baru ini dan berbekalkan pengalaman selama 75 tahun, parti itu diyakini dapat menyumbang kembali undi masyarakat India kepada BN pada PRU15.

Menyentuh mengenai tarikh PRU15, Bekas Speaker Dewan Negara itu menggesa pucuk kepimpinan BN untuk memberikan ruang yang secukupnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dalam menentukan masa yang paling sesuai bagi mengadakan PRU15.

-- BERNAMA