PRN Sarawak: Sahabat GPS perlu utamakan agenda Sarawak - Fadillah Yusuf

Datuk Seri Fadillah Yusof Gambar fail)

12/12/2021 09:58 PM

KUCHING, Dec 12  -- Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak meletakkan syarat untuk pihak lain menjadi sahabatnya kecuali jalinan persahabatan itu menjurus ke arah mengutamakan hak negeri itu, kata Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusuf.

Selagi mereka sanggup melindungi hak negeri Sarawak, mereka dialu-alukan untuk bekerjasama, kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu.

“GPS telah memperjelaskan slogan ‘Sarawak First’ (Sarawak Dahulu) bermaksud kami mahu melindungi hak rakyat di sini..itulah menjadi keutamaan kami,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kejohanan Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2021 di Dewan Perbandaran Sukan Sarawak di Petra Jaya di sini hari ini.

Fadillah mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Mazlan semalam bahawa Barisan Nasional (BN) menghormati pendirian GPS untuk tidak menyertai BN sebagai parti komponen tetapi kekal sebagai ‘sahabat yang akrab’.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata persahabatan dengan GPS amat dihargai tetapi berharap pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mereka akan menjemput GPS menyertai kerajaan persekutuan apabila tiba waktunya.

Fadillah, yang juga Menteri Kanan Kerja Raya, juga berkata alasan mengapa GPS tidak boleh menjadi rakan kepada Pakatan Harapan (PH) adalah kerana gabungan pembangkang itu tidak benar-benar memperjuangkan hak rakyat Sarawak.

Ini jelas apabila beberapa projek di negeri ini termasuk pembinaan jambatan yang telah diluluskan di bawah kerajaan BN dibatalkan selepas kerajaan PH mengambil alih,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan GPS dan BN bekerjasama semasa PRU15, beliau berkata mereka akan hanya bertanding di bawah tiket GPS tetapi mengulangi bahawa gabungan itu boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja terutamanya mereka yang ‘mesra’ dengan mereka.

-- BERNAMA