Penyebaran berita palsu dalam talian berkurang berbanding tempoh kempen PRU15 - MCMC

24/11/2022 02:31 PM

PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) -- Hasil pemantauan yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati penyebaran berita palsu dan berbaur provokasi dalam talian pada masa ini didapati berkurangan berbanding tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15.

Pengerusi Interim MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata MCMC turut bekerjasama dengan pihak penyedia platform untuk menurunkan kandungan berbentuk provokasi.

"Sehingga kini, sejumlah 101 hantaran provokasi telah dilaporkan dan kesemua hantaran berkenaan telah diturunkan.

"Pihak MCMC menghargai kerjasama TikTok dan Instagram atas kepantasan menurunkan kesemua kandungan yang telah dilaporkan kepada mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Salim berkata MCMC akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menular semula kandungan-kandungan lama yang telah diturunkan atau akaun yang telah dinyahhapus. 

Beliau berkata berdasarkan laporan setakat semalam, Pasukan Petugas Siber Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC telah menerima 36 aduan daripada orang ramai dengan 20 daripadanya telah diselesaikan sama ada melalui penurunan kandungan dan penafian di portal sebenarnya.my. 

"Sebanyak 12 kertas siasatan telah dibuka dan proses siasatan sedang dijalankan termasuk mengenal pasti mereka yang terlibat.

“Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata MCMC menyeru orang ramai untuk menghormati perbezaan pandangan dan pendapat selain menerima kepelbagaian dan inklusiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Katanya orang ramai boleh membuat aduan sekiranya terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Raja dan perkauman, melalui portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/, talian aduan 1800-188-030, WhatsApp di 016 2206 262 dan e-mel di aduanskmm@mcmc.gov.my. 

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.

-- BERNAMA