PRU15: Calon Warisan masih sah bertanding di Parlimen Padang Serai

24/11/2022 09:30 PM

KULIM, 24 Nov (Bernama) -- Mohd Bakhri Hashim daripada Warisan masih calon yang sah bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai walaupun parti itu menyatakan menarik diri daripada bertanding di kerusi itu, kata Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai Datuk Abdul Bari Abdullah.

Beliau berkata menurut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seseorang calon tidak boleh menarik diri selepas pencalonannya telah diterima.

“Saya tidak dimaklumkan hari ini (mengenai keputusan Warisan). SPR sudah ambil senarai nama calon yang sah untuk dicetak di dalam kertas undi.

“Kita juga sudah hantar senarai nama calon yang sah untuk dicetak selepas selesai penamaan calon pagi tadi. Kalau calon tarik diri juga namanya tetap ada di dalam kertas undi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Bari berkata beliau akan merujuk kes berkenaan kepada Ibu Pejabat SPR untuk keputusan selanjutnya.

Petang tadi, Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua Jr dalam kenyataan berkata parti itu memutuskan untuk tidak bertanding PRU15 Parlimen Padang Serai dan perkara itu telah pun dimaklumkan kepada SPR.

Mohd Bakhri juga tidak hadir bagi proses cabutan undi pada Hari Penamaan Calon PRU15 Parlimen Padang Serai pagi tadi.

Pilihan raya bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH) akibat serangan jantung pada 16 Nov.

Selain Mohd Bakhri, Karupaiya sepatutnya bersaing dengan Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk C. Sivaraj (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15, Sabtu lepas.

Saingan terkini bagi kerusi berkenaan akan melibatkan calon PH Dr Mohamad Sofee Razak.

-- BERNAMA