PM Anwar tunai solat Jumaat di Masjid Putra

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai hampir 3,000 jemaah di Masjid Putra di sini untuk menunaikan solat Jumaat hari ini.

25/11/2022 03:03 PM

PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai hampir 3,000 jemaah di Masjid Putra di sini untuk menunaikan solat Jumaat hari ini.

Beliau tiba di masjid berkenaan pada kira-kira 1 tengah hari lengkap berpakaian baju Melayu berwarna merah jambu dan bersamping, diiringi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara semalam. Beliau memulakan tugasnya secara rasmi di Putrajaya hari ini.

Anwar sempat bersalaman dengan para jemaah sebelum masuk ke Dewan Solat masjid untuk mendengar khutbah bertajuk 'Nasihat Buat Pemimpin: Khalifah Umar Bin Abdul Aziz Contoh Teladan,' yang dibacakan Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali dan menunaikan solat Jumaat.

Salahuddin dalam khutbahnya menyeru para pemimpin untuk menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya dan mencontohi Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang telah berjaya menunjukkan contoh kepemimpinan yang unggul dan terbaik.

Rakyat pula dalam masa yang sama diminta mentaati kepimpinan yang telah dilantik dan berikan ruang dan kepercayaan kepada para pemimpin untuk menjalankan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. 

"Marilah bersama-sama kita berdoa agar para pemimpin di negara ini diberikan inayah dan hidayah dalam mengurus tadbir negara dengan baik. 

"Semoga negara kita Malaysia yang tercinta ini diberikan rahmat dan keberkatan oleh Allah dan memelihara kita semua daripada segala musibah serta bala bencana," kata Salahuddin ketika membacakan teks khutbah yang disediakan oleh Jakim.

-- BERNAMA