Kedah disaran beri cuti khas hari mengundi Parlimen Padang Serai

Ketua Penerangan Bersatu DAtuk Wan Saiful Wan jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor bertemu dengan masyarakat setempat di Taman Mahsuri di sini untuk membantu kempen Calon Perikatan Nasional Datuk Azman Nasrudin (PN) yang akan bertanding pada kerusi P.017 Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

27/11/2022 02:28 PM

KULIM, 27 Nov (Bernama) -- Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mencadangkan supaya kerajaan negeri Kedah mengumumkan cuti khas pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai, 7 Dis ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata ia bagi memudahkan rakyat Kedah yang mengundi di kawasan itu keluar melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih selesa memandangkan pengundian diadakan pada hari Rabu.

“Tarikh 7 Dis adalah hari yang penting untuk penduduk Kedah khususnya di Padang Serai, saya agak bimbang sebab hari mengundi itu adalah hari bekerja… kita mesti pastikan peratusan keluar mengundi tinggi,” katanya ketika ditemui semasa berkempen bersama calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Padang Serai Datuk Azman Nasrudin di sini hari ini.

Wan Saiful berkata PRU15 Parlimen Padang Serai itu akan menjadi kayu ukur terhadap sejauh mana ‘gelombang’ PN benar-benar wujud terutama di Kedah.

PRU15 pada 19 Nov lepas menyaksikan PN memenangi 13 daripada 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis; berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang disahkan bertanding M. Karupaiya.

Ia kini menyaksikan pertembungan enam penjuru yang melibatkan calon PH- PKR, PN-Bersatu, Barisan Nasional (BN-MIC), Pejuang, seorang calon Bebas, dan calon parti Warisan, namun Warisan kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, tetapi logo parti itu masih akan tersenarai dalam kertas undi kerana sudah didaftarkan sebagai satu daripada parti yang bertanding.

Sementara itu calon BN Datuk C. Sivaraj turut bersetuju dengan cadangan pemberian cuti khas di Kedah pada hari pengundian kerana ia dapat memberi persaingan yang adil jika peratusan keluar mengundi adalah tinggi.

“Kalau bagi cuti lagi bagus, saya pun berterima kasih kalau bagi cuti sebab ia juga akan memberi kesan kepada pengundi kita, sebab hari Rabu banyak orang kerja, jadi bagi saya ia sangat positif kalau diberi cuti sehari untuk Kedah,” katanya ketika ditemui berkempen di Kampung Padang di sini hari ini.

-- BERNAMA