Tiada cuti khas pada hari pengundian Parlimen Padang Serai - MB Kedah

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

27/11/2022 03:31 PM

ALOR SETAR, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kedah tidak dapat mempertimbangkan pemberian cuti khas pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Padang Serai, 7 Dis ini.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata ini kerana pilihan raya itu hanya melibatkan satu kawasan Parlimen sahaja di negeri ini.

“Tak dapat dipertimbangkan sebab satu Parlimen saja. Cuti ini ada kuota terhad,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan supaya kerajaan negeri itu mengumumkan cuti khas pada 7 Dis ini bagi memudahkan pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka memandangkan pengundian diadakan pada hari Rabu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis, berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang disahkan bertanding M. Karupaiya pada 16 Nov lepas.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan enam penjuru yang melibatkan calon Pakatan Harapan, Bersatu, Barisan Nasional, Pejuang, Parti Warisan dan seorang calon Bebas, namun Warisan kemudian mengumumkan tidak mengambil bahagian tetapi logo parti itu masih akan tersenarai dalam kertas undi kerana sudah didaftarkan sebagai satu daripada parti yang bertanding.

-- BERNAMA