Kestabilan politik, faktor luaran terus sokong pasaran tempatan - Bursa Malaysia

Datuk Muhamad Umar Swift (Gambar fail)

29/11/2022 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd menjangkakan kestabilan politik domestik dan pendirian yang cenderung untuk menurunkan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) akan terus menyokong pasaran tempatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Muhamad Umar Swift.

Beliau berkata pasaran memberi reaksi positif terhadap pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 Nov.

"Kami kini menantikan pelantikan anggota kabinet dan apa-apa sahaja yang memberikan lebih kepastian akan disambut baik oleh pasaran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan skim derma sekuriti Shares2share di sini hari ini.

Shares2share membolehkan pelabur mendermakan sekuriti tersenarai mereka atau hasil daripada penjualan sekuriti tersenarai mereka untuk amal kebajikan melalui Yayasan Bursa Malaysia.

Muhamad Umar berkata Fed yang dilihat cenderung untuk menurunkan kadar faedah merupakan faktor luaran yang diterima baik oleh pasaran dan pada masa yang sama memacu pertumbuhan dan permintaan untuk aset yang lebih berisiko.

“Saham Malaysia pada masa ini dinilai rendah dan kami menjangkakan terdapat peluang belian dan kami tidak sabar untuk melihat sokongan berterusan daripada pelabur asing minggu lepas. Terdapat pelabur-pelabur kukuh minggu lepas dan minat berterusan,” katanya.

Penanda aras Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat empat peratus untuk ditutup pada 1,501.88 mata pada Khamis lepas, hari terbaik sejak Mac 2020, tetapi pada rehat tengah hari hari ini, indeks itu berada pada 1,471.16 mata.

Mengenai Shares2share, Muhamad Umar berkata skim itu menawarkan dua kaedah sumbangan saham, iaitu derma saham tanpa resit cukai dan derma hasil jualan dengan resit cukai, yang membolehkan pelabur yang menderma menerima potongan cukai.

“Mohon ambil perhatian bahawa untuk menerima resit cukai, anda perlu menjadi pelanggan salah satu daripada 15 organisasi yang mengambil bahagian yang bekerjasama dengan Yayasan Bursa Malaysia dalam Shares2share.

"Sebanyak 15 organisasi yang mengambil bahagian yang bekerjasama dengan kami di Shares2share telah bersetuju untuk mengecualikan yuran pembrokeran mereka dan bahagian mereka daripada yuran pemindahan Sistem Depositori Pusat (CDS)," katanya.

Beliau berkata bursa itu juga akan mengecualikan yuran penjelasan 0.03 peratus serta yuran pemindahan CDS.

Beliau menambah bahawa semua pengecualian ini akan membolehkan Yayasan Bursa Malaysia mengeluarkan sebanyak mungkin nilai daripada saham yang didermakan.

-- BERNAMA