Calon PN Padang Serai beri keterangan kepada polis berhubung kenyataan ‘kerajaan zina’

29/11/2022 05:38 PM

KULIM, 29 Nov (Bernama) -- Calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 Datuk Azman Nasrudin memaklumkan beliau telah memberi keterangan kepada polis, berhubung kenyataannya yang mendakwa kerajaan dibentuk ketika ini adalah 'kerajaan zina'.

Azman berkata keterangan itu dibuat di Balai Polis Kulim Hi-Tech, di sini pada 12 tengah malam tadi.

“… saya (mengaku) agak kasar sikit malam itu sebab kerajaan baru tertubuh. (Tetapi) saya merujuk kepada resolusi yang UMNO sendiri buat dan langgarnya resolusi yang mereka sendiri buat, menyebabkan ahli-ahli UMNO di bawah ini kecewa.

“Ini berkenaan dengan prinsip, soal kerajaan campuran, kerajaan perpaduan dan sebagainya, itu cerita lain. Kami di PN juga akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui berkempen di Kampung Nesa di sini hari ini.

Ahad lalu, media melaporkan Azman mengeluarkan kenyataan bahawa berlaku isyarat jelas penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), susulan kerajaan perpaduan yang disifatkannya sebagai ‘kerajaan zina’.

-- BERNAMA