Lapan ADUN BN, dua PH angkat sumpah Exco Pahang

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kiri) dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah (dua, kanan) berkenan berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang di Istana Abu Bakar hari ini. Turut kelihatan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang.

02/12/2022 11:13 PM

PEKAN, 2 Dis (Bernama) -- Anak bekas Perdana Menteri Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib hari ini antara 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Mohamad Nizar yang juga ADUN Peramu Jaya adalah antara lapan ADUN UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai Exco manakala wakil Pakatan Harapan (PH) dilantik masing-masing seorang daripada PKR dan DAP.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tujuh, kiri) berkenan bergambar kenangan bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang yang baru dilantik pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang di Istana Abu Bakar hari ini. Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah (tujuh, kanan) dan Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah (enam, kanan). Turut kelihatan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (enam, kiri).

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat ke majlis santapan yang berlangsung usai  istiadat berkenaan.

Turut berangkat ialah Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Mohamad Nizar juga adalah empat muka baharu diketengahkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilantik sebagai Exco, selain Fadzli Mohamad Kamal ADUN Dong, Datuk Johari Harun (Pelangai) dan Datuk Sabariah Saidan (Guai).

Turut dilantik menganggotai Exco ialah Razali Kassim (Muadzam Shah) manakala tiga lagi pernah menganggotai barisan Exco pada penggal lepas iaitu Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak (Benta), Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau) dan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar).

 ADUN PKR yang dilantik pula ialah Sim Chon Siang (Teruntum) manakala Leong Yu Man (Triang) mewakili DAP. 

 BN dan PH bersetuju membentuk kerajaan negeri Pahang selepas keputusan PRU15 menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri. 

Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi, ketinggalan satu daripada Perikatan Nasional (PN) manakala PH mendapat lapan kerusi DUN. 

DUN Pahang terdiri daripada 42 kerusi, namun proses pengundian bagi DUN Tioman telah ditangguhkan kepada 7 Dis ini berikutan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi, hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung. 

Bagaimanapun, apa-apa jua keputusan DUN Tioman masih tidak membolehkan mana-mana blok politik memperoleh majoriti mudah. 

-- BERNAMA