Salahuddin kembali ke Kabinet, bertukar portfolio

Pengerusi PH Johor Datuk Seri Salahuddin Ayub

03/12/2022 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bukanlah nama asing dalam arena politik negara.

Dilahirkan di Tanjung Piai, Pontian, Johor, Ahli Parlimen Pulai berusia 61 tahun itu sebelum ini merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Sebelum menceburkan diri dalam arena politik, Salahuddin pernah dilantik sebagai Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian antara 1981 hingga 1983.

Mula aktif dalam politik sepenuh masa pada 1983 setelah menyertai PAS, beliau menjawat pelbagai jawatan bermula dengan Naib Yang Dipertua PAS Pontian (1983-1987) sehingga jawatan tertinggi iaitu Naib Presiden PAS Pusat (2009-2015).

Pada 2004, PAS memilih beliau untuk bertanding di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dan berjaya menjadi Ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal.

Beliau kemudiannya menyertai Amanah pada 2015 dan tiga tahun selepas itu, bertanding di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Umum ke-14 menerusi tiket PH.

Pengerusi PH Johor itu sekali lagi mengulangi kejayaan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac lepas dan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 Nov lepas.

Salahuddin mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan dengan majoriti 33,174 undi, selepas mendapat undian sebanyak 64,900 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nur Jazlan Mohamed yang memperoleh 31,726 undi dan calon Perikatan Nasional (PN) Loh Kah Yong yang meraih 20,677 undi.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Serkat, Pontian dari 1967 hingga 1973, sebelum menyambung pendidikan di peringkat menengah rendah di Sekolah Menengah Inggeris Teluk Kerang, Pontian (1974-1976).

Salahuddin menyambung pendidikan di peringkat menengah di Sekolah Menengah Sri Perhentian, Pontian, sehingga tamat tingkatan lima dan tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat, Pontian. 

Selepas alam persekolahan, beliau seterusnya mengikuti program Diploma Pentadbiran Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) (1982-1983) dan meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1984.

-- BERNAMA