PRU15: Sivaraj gesa penyokong BN beri kemenangan kepada calon PH

Datuk C. Sivaraj (Gambar fail)

05/12/2022 09:09 PM

KULIM, 5 Dis (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai Datuk C. Sivaraj memaklumkan, masih ramai pengundi di kawasan itu yang keliru berhubung keputusan BN memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Rabu ini.

Sivaraj berkata ramai pengundi khususnya penyokong BN, masih hendak mengundinya pada pilihan raya itu, walaupun keputusan memberi laluan kepada calon PH diumumkan pada Jumaat lepas.

“Justeru, saya rayu mereka undi calon Pakatan Harapan (PH) walaupun nama saya akan berada dalam kertas undi, tapi disebabkan persefahaman yang ada dengan mereka dan seperti diminta Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Maka wajar pengundi yang sokong BN atau saya mengundi calon PH. Ia lebih baik dibiarkan pertembungan satu lawan satu (dengan calon Perikatan Nasional), baru kita ada peluang menang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jumaat lepas, Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa BN memberi laluan dan menyokong calon PH Dr Mohamad Sofee Razak untuk PRU15 Parlimen Padang Serai, 7 Dis ini.

Menurut Sivaraj, jentera BN kini sedang berusaha sedaya upaya turun ke setiap kawasan dan memberi penjelasan kepada penyokong BN berhubung keputusan yang harus mereka lakukan pada hari pengundian nanti dengan mengundi calon PH.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa beliau akan dipertimbangkan untuk diberi peranan sesuai dalam kerajaan, Sivaraj berkata beliau berterima kasih dengan cadangan tersebut.

“Saya tidak meminta atau ditawarkan (sebelum bersetuju memberi laluan). Saya tidak meletakkan apa-apa syarat, malah pada awal lagi saya kata tak adil untuk saya memberi laluan kepada calon PH, kerana saya sudah berkhidmat lebih lama berbanding beliau di Padang Serai.

“Saya ambil masa seharian untuk membuat keputusan dan selepas itu saya putuskan perlu memberi laluan kerana kalau undi kita pecah, risiko kerusi dimenangi Perikatan Nasional dan saya juga perlu terima hakikat sebab BN juga yang berikan watikah untuk saya bertanding,” katanya.

-- BERNAMA