PRU15: Lebih 160,000 pemilih di Parlimen Padang Serai, DUN Tioman mengundi hari ini

Gambar hiasan. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

07/12/2022 08:36 AM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Lebih 160,000 pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk memilih wakil rakyat bagi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 132,955 pengundi di Parlimen Padang Serai manakala 28,108 orang di DUN Tioman dijangka berbuat demikian.

Sebanyak 46 pusat mengundi dan 230 saluran akan dibuka bagi proses pengundian di Parlimen Padang Serai manakala DUN Tioman pula membabitkan 17 pusat mengundi dan 52 saluran.

Mengikut Warta Kerajaan mengenai penetapan waktu mengundi PRU15 yang dimuat naik di laman sesawang SPR, pusat mengundi di kedua-dua kawasan akan dibuka pada 8 pagi dan ditutup pada 6 petang.

SPR juga menyarankan pengundi agar memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi manakala individu yang positif COVID-19 boleh berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah bagi maklumat lanjut.

Bagi pengundi di DUN Tioman, penandaan dakwat pilihan raya akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri.

Seperti proses pengundian pada 19 Nov lepas, penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan.

SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan ia di tempat yang telah disediakan selepas menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

Pengundi juga dinasihat agar keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan dan mengelak hadir pada saat-saat akhir.

PRU15 di kedua-dua kawasan yang sepatutnya berlangsung pada 19 Nov ditangguhkan susulan kematian calon disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli di DUN Tioman, mewakili Perikatan Nasional (PN).

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 Nov dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15 pada 19 Nov lepas.

Perebutan kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional-BN), Datuk Azman Nasrudin (PN) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

Dua lagi pencabar ialah Mohd Bakhri Hashim, mewakili Warisan, dan calon Bebas iaitu Sreanandha Rao.

Bagaimanapun, BN bersetuju memberi laluan kepada PH di kerusi Parlimen itu pada 2 Dis lepas.

DUN Tioman pula menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang), Sulaiman Bakar (Bebas) manakala Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) mengumumkan memberi laluan kepada calon BN tetapi namanya masih tertera di kertas undi.

Pada 3 Dis lepas, pengundian awal menyaksikan kira-kira 93.42 peratus atau 71 anggota polis mengundi di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah.

Bagi DUN Tioman di Pahang pula, kira-kira 95.88 peratus atau 233 anggota polis mengundi awal di Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin dan Bilik Maklumat Balai Polis Tekek, Pulau Tioman. 

-- BERNAMA