PRN: PN N. Sembilan sasar menang sekurang-kurangnya 19 kerusi

Datuk Eddin Syazlee Shith

11/12/2022 10:40 AM

SEREMBAN, 11 Dis (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekali gus membolehkan PN membentuk kerajaan negeri.

Pengerusinya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata meskipun bukan perkara mudah, dengan usaha barisan kepimpinan yang komited selain kemenangan di kerusi Parlimen Padang Serai kepada PN baru-baru ini memberi isyarat bahawa perkara itu tidak mustahil untuk dicapai.

“Kita sasar lebih kurang dua hingga tiga kerusi di setiap Parlimen di negeri ini, ia bukan tanggungjawab mudah tapi dalam tempoh yang ada ini kita gunakan sebaik mungkin untuk perbetulkan keadaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

“Insya-Allah, banyak kita belajar daripada PRU15, saya harap kita kekalkan momentum supaya PRN kali ini kita lebih bersedia berdepan parti lawan selain tumpuan kepada pengundi muda yang beri sokongan kepada PN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Apresiasi Jentera PN di sini malam tadi.

Beliau berkata peluang PN untuk mendominasi Negeri Sembilan juga besar berdasarkan perkembangan terkini dalam negara serta perancangan teliti dan sistematik jentera parti.

DUN Negeri Sembilan ketika ini diwakili 20 ahli Pakatan Harapan dan 16 Barisan Nasional daripada keseluruhan 36 kerusi pada PRU14.

-- BERNAMA