CGS-CIMB unjur FBM KLCI akhiri tahun 2023 pada 1,633

04/01/2023 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- CGS-CIMB Securities Sdn Bhd mengunjurkan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran menamatkan 2023 pada 1,633, meningkat sembilan peratus daripada 1,495 yang direkodkan pada akhir 2022.

Firma pembrokeran itu menjangkakan tahun ini boleh kekal mencabar memandangkan korporat berusaha menyesuaikan dengan dasar baharu dan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia menjelaskan, korporat juga melaraskan dengan pertumbuhan global yang lebih perlahan, dasar monetari yang lebih ketat dan ketegangan geopolitik berterusan dengan perang Rusia-Ukraine menyebabkan harga komoditi lebih tinggi, jelasnya.

“Kami menjangkakan ini akan diambil kira pada separuh pertama 2023, dan pasaran akan pulih pada separuh kedua tahun ini.

“Kami berpandangan kelemahan ini boleh dihadkan oleh jangkaan pertumbuhan keuntungan KLCI yang lebih kukuh sebanyak 12.8 peratus pada 2023 dan penilaian KLCI yang tidak menuntut,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Rabu.

Pada 2022, indeks utama itu susut 4.6 peratus ekoran beberapa siri insiden negatif yang menjejaskan pasaran, termasuk kebimbangan mengenai penularan varian COVID-19 Omicron, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, harga komoditi mencecah paras tertinggi yang mendorong kebimbangan inflasi, kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) serta situasi Parlimen tergantung susulan keputusan PRU15 pada 19 Nov.

Pelabur asing kekal sebagai penjual ekuiti bersih, dan jualan bersih mereka meningkat kepada RM1.4 bilion pada Disember berbanding dengan aliran keluar berjumlah RM282 juta pada November.

Pelabur institusi tempatan merupakan pembeli bersih terbesar bulan lepas, apabila belian bersih mereka melonjak kepada RM1.7 bilion.

CGS-CIMB menjelaskan bagi 2023, pegangan saham asing menghampiri paras terendah dalam sejarah mereka, dan pelabur institusi domestik boleh menjadi pembeli bersih dalam pasaran berikutan kecairan yang lebih baik.

Tiga pilihan utama firma pembrokeran itu bagi separuh pertama 2023 ialah Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memandangkan potensi ketibaan antarabangsa yang lebih tinggi apabila China membuka semula sempadannya; MR DIY dijangka menjadi penerima manfaat daripada aliran menurun akibat peningkatan tekanan inflasi serta RHB Bank kerana hasil dividennya yang menarik tahun lepas.

-- BERNAMA