Asyraf Wajdi sahkan tidak pertahan jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan UMNO

12/01/2023 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti akan datang.

Perkara itu dinyatakannya di hadapan lebih 1,000 perwakilan pada sesi penggulungan Persidangan Pemuda UMNO di sini. 

Beliau berkata keputusan itu diambil sebagai tanggungjawabnya berikutan kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya membabitkan saluran muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November tahun lepas.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

"Saya minta maaf atas kegagalan saya dalam memimpin anda semua…saya dah cuba yang terbaik untuk kita bangkit kembali dan saya telah letak jiwa dan raga saya kepada Pemuda UMNO selama lima tahun.

"Saya tidak akan pertahankan jawatan Ketua Pemuda dan saya ambil tanggungjawab ini untuk pastikan bahtera kita kembali kuat dan dinakhodai orang baharu yang mempunyai idea segar," katanya.

-- BERNAMA