Pengundi fail petisyen cabar keputusan PRU15 di Parlimen Gua Musang

Tengku Razaleigh Hamzah

13/01/2023 04:58 PM

KOTA BHARU, 13 Jan (Bernama) -- Seorang pengundi, yang juga wakil kepada calon Barisan Nasional Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, telah memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kawasan itu.

Petisyen itu, yang difailkan oleh Mohd Azmi Mahmood pada 3 Jan lepas, menamakan Ahli Parlimen Gua Musang Datuk Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ab Fatah Hasbullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, yang mewakili Mohd Azmi, berkata petisyen itu antara lain memohon keputusan PRU15 bagi Parlimen Gua Musang dibatalkan dan menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil.

"Petisyen berkenaan difailkan bagi mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang didakwa berlaku politik wang.

"Selain itu, anak guam kami mendakwa peti undi dari pusat daerah mengundi (PDM) iaitu di beberapa saluran tidak dikira dan kertas undi tidak dikembalikan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengurusan kes itu ditetapkan pada 25 Jan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Roslan Abu Bakar.

Pada PRU15, Tengku Razaleigh atau Ku Li gagal yang memperoleh 21,663 undi gagal mempertahan kerusi Parlimen Gua Musang apabila tewas kepada Mohd Azizi dengan majoriti 163 undi.

-- BERNAMA