Awang Husaini fail petisyen batal keputusan PRU15 Parlimen Putatan

16/01/2023 03:46 PM

KOTA KINABALU, 16 Jan (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Putatan iaitu Awang Husaini Sahari yang kalah tipis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan di parlimen tersebut.

Awang Husaini berkata petisyen itu difailkan melalui peguamnya Nelson Anggang di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Dis 2022.

"Betul...saya sudah memfailkan petisyen berkenaan melalui peguam saya pada hujung tahun lepas," katanya ringkas tanpa mengulas lanjut ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada PRU15 lepas calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shahelmey Yahya menang dengan majoriti 124 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Shahelmey memperoleh 16,234 undi menewaskan Awang Husaini yang memperolehi 16,110 undi serta calon Parti Warisan Ahmad Mohd Said yang mendapat 8,511 undi dan calon Pejuang Patrick Payne hanya mendapat 394 undi.

-- BERNAMA