3,929 Anggota Keselamatan Ditugaskan Lindungi Keselamatan Di Lokasi Demonstrasi Jakarta

05/03/2024 04:32 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Mac (Bernama) -- Pihak berkuasa Jakarta menugaskan 3,929 anggota keselamatan untuk mengawasi demonstrasi berkaitan Pilihan Raya Umum 2024 di hadapan Kompleks Parlimen di Tanah Abang, Jakarta Pusat pada Selasa.

Menurut Polis Jakarta Pusat, anggota polis Jakarta, tentera, kerajaan tempatan dan agensi berkaitan ditempatkan di sekitar kompleks itu.

Langkah keselamatan, termasuk penutupan lalu lintas dan lencongan, akan dilaksanakan berdasarkan situasi, menurut Ketua Pesuruhjaya Polis Jeneral Susatyo Purnomo Condro dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihak berkuasa akan melaksanakan pendekatan yang tenang dan diplomatik selain menggesa penunjuk perasaan membuat bantahan secara aman.

Media tempatan melaporkan bahawa 'Gabungan Kebangsaan untuk Penyelamat Demokrasi' membantah keputusan pilihan raya umum, dengan lebih 1,000 peserta, termasuk pelajar, pekerja, aktivis dan ahli akademik.

Mereka menggesa tindakan terhadap 15 isu, termasuk menolak keputusan pilihan raya, menyiasat dakwaan penipuan pilihan raya, dan menurunkan harga barangan keperluan.

Dewan Perwakilan Rakyat bersidang untuk memulakan sesi keempat penggal 2023-2024, mesyuarat pertama selepas pilihan raya 2024.

-- BERNAMA