Johor jadi negeri pertama MCA laksana penaziran

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (dua, kiri, belakang) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor yang diadakan secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor

30/12/2021 10:14 PM

JOHOR BAHRU, 30 Dis -- Johor akan dijadikan negeri pertama MCA melakukan kerja-kerja penaziran parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. 

Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata pihaknya memilih Johor sebagai negeri permulaan kerana ia merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) selain pihaknya berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan MCA dalam PRU15.

"Kami akan mulakan kerja-kerja penaziran di Johor terlebih dahulu, iaitu kerja-kerja persiapan oleh satu pasukan khas daripada MCA pusat untuk melihat di mana kelemahan agar boleh diperbaiki dan diaudit," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor di Ibu Pejabat MCA Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata menerusi mesyuarat itu juga, satu ketetapan telah dibuat iaitu semua bahagian MCA di seluruh negara telah diarahkan untuk bersiap siaga berkemungkinan PRU15 akan diadakan pada bila-bila masa.

Mengulas mengenai Undi18, Wee yang juga  Menteri Pengangkutan berkata pihaknya bersedia untuk meletakkan seramai mungkin calon baharu dalam menghadapi gelombang pengundi muda.

Beliau berkata pelaksanaan Undi18 akan merubah pola pengundian masyarakat khususnya bagi kawasan besar seperti Parlimen Iskandar Puteri dan Tebrau yang akan menyaksikan pertambahan seramai 300,000 dan 290,000 pengundi muda masing-masing.

"Ini merupakan tekanan besar, kawasan sedemikian perlu ada strategi dan percaturan lebih baik dan kami rasa pendekatan baharu perlu digunakan untuk persiap calon dari segi mentaliti mereka.

"MCA mesti letak seberapa ramai calon muda yang berkebolehan, berwibawa dan yang dikenali masyarakat. Calon tua ada sedikit kekurangan sebab orang dah kenal dan tahu kelemahan mereka," katanya.

Beliau bagaimanapun belum mempunyai kata putus berhubung berapa ramai atau peratusan calon muka baharu yang akan diketengahkan parti itu dalam PRU15 akan datang.

-- BERNAMA