BN tidak gusar, siap siaga berdepan PRU15 - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

10/02/2022 11:55 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb  -- Barisan Nasional (BN) tidak gusar dengan mana-mana parti politik di negara ini, kerana gabungan itu sentiasa bersiap siaga untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menyifatkan PRU15 mustahak untuk memastikan keadaan politik Malaysia kembali pulih, dan kestabilan politik penting untuk memastikan Malaysia dapat bergerak maju ke hadapan serta bangkit segera daripada kerosakan sejak 9 Mei 2018.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pula penting untuk mengembalikan kestabilan di negeri itu.

“PRN Johor perlu diadakan apabila berlaku ketidakstabilan politik, selepas kerajaan sedia ada hanya memiliki kelebihan satu kerusi majoriti.

“Banyak kali ini diperjelaskan, termasuk risiko untuk mendapatkan kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap sesuatu usul yang penting untuk rakyat negeri itu,” katanya.

Ahmad Zahid juga menjelaskan kerajaan Johor sedia ada, berdepan dengan dilema apabila sering diugut dan diancam oleh parti politik tertentu jika tidak menuruti kepentingan mereka.

“Justeru, sebelum parti politik itu tekan butang secara tiba-tiba dan menimbulkan kekalutan, adalah lebih 'afdal' kita tekan butang terlebih dahulu,” katanya.

Beliau juga mengakui ada yang khuatir parti politik tersebut akan bertindak balas dengan 'menekan butang' di peringkat Persekutuan, andai tewas PRN Johor.

-- BERNAMA