PH perlu guna satu logo jika mahu menang PRU - Guan Eng

Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan) bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (tengah) dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu (dua, kiri) hadir pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-17 di IDCC hari ini. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

20/03/2022 03:50 PM

SHAH ALAM, 20 Mac (Bernama) -- Parti komponen Pakatan Harapan (PH) perlu menggunakan satu logo sama untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi memastikan kemenangan besar gabungan itu sekali gus kembali menjadi kerajaan.

Lim Guan Eng pada ucapan dasar terakhirnya selaku Setiausaha Agung DAP berkata walaupun DAP ada kalanya berhasrat menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya, namun parti itu sedar ia tidak akan mampu membentuk kerajaan secara solo.

“DAP akan berpegang kepada logo gabungan PH untuk membantu kita menang bersama-sama. Tidak ada satu parti dapat menang PRU, hanya PH mampu menang dan bentuk kerajaan.

“Kita harus kongsi kemenangan dengan logo yang sama,” katanya pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di sini hari ini.

Turut hadir barisan kepimpinan parti komponen PH antaranya Presiden PKR merangkap Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Lim berkata DAP tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana telah ‘mengkhianati’ PH sebelum ini, merujuk kepada ‘Langkah Sheraton’ yang menjurus kepada berakhirnya kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad

“Jika kita ditikam dari belakang sekali, itu salah mereka. Jika kita membenarkan mereka menikam belakang kita untuk kali kedua, ini adalah salah kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, Lim mengulangi pendirian bahawa memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan dan PH bagi meredakan suhu politik negara akan terbatal sekiranya Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak diluluskan.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata PH akan menarik semula sokongan terhadap MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan, jika RUU itu tidak diluluskan pada sesi Parlimen kali ini .

Dalam pada itu, Lim berkata beliau akan terus memberi sokongan penuh kepada penggantinya yang ditentukan dalam pemilihan parti hari ini memandangkan beliau tidak boleh dilantik semula sebagai Setiausaha Agung parti kerana telah memegang jawatan itu untuk maksimum tiga penggal sejak pertama kali dilantik pada 2004.

Lim tidak boleh dipilih semula pada pemilihan kali ini setelah pindaan perlembagaan membenarkan seseorang memegang jawatan selama maksimum tiga penggal.

-- BERNAMA