BERSATU terbuka adakan perbincangan dengan parti politik lain

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN Bil.4/2022 di Kementerian Kewangan hari ini.

14/04/2022 05:49 PM

PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan parti-parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perbincangan masih berjalan dengan pihak yang sependapat dengan parti itu bagi mencapai kemenangan dalam PRU15.

"Saya fikir mungkin bulan puasa ini perlahan sikit (perjumpaan) tapi selepas raya apabila situasi mengizinkan dan ada kecenderungan dan minat pihak dari parti-parti mana sekalipun untuk bertemu dan berbincang cara bagaimana hendak hadapi strategi pilihan raya secara bersama-sama dan mengelakkan pertembungan antara satu sama lain, kita akan usahakan.

"Ini bukan sahaja bergantung pada pihak saya tetapi lebih baik dari pihak-pihak lain yang sependapat bahawa langkah sebegitu adalah wajar untuk kita menentukan kemenangan dalam pilihan raya akan datang," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara, di sini hari ini.

Pada 2 April, Muhyiddin dalam hantaran di Facebooknya berkata selepas Pilihan Raya Negeri Johor, beliau didatangi beberapa pemimpin parti politik yang menyuarakan pandangan bahawa lebih baik parti-parti selain Barisan Nasional merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU15.

-- BERNAMA