Pemimpin politik sokong langkah UMNO calonkan Ismail Sabri sebagai PM pada PRU15

Kredit: Facebook Ismail Sabri Yaakob

15/04/2022 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Ramai pemimpin parti politik menyokong keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata PAS menyambut baik keputusan UMNO itu, dan mendokong serta menyokong penuh kepimpinan Ismail Sabri pada masa ini serta berharap agenda perpaduan yang dipelopori beliau dapat diteruskan, kerana ia terbukti berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.

Katanya pendekatan itu pastinya akan terus disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara.

“PAS yakin Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dengan pihak pembangkang, yang berkuat kuasa dari tarikh ditandatangani sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14, akan terus membantu proses pemulihan negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan hidup serta kehidupan rakyat jelata,” katanya.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup pula, menyifatkan keputusan UMNO itu sebagai satu langkah yang baik untuk menjamin kestabilan politik negara.

Beliau berkata kepemimpinan ‘Keluarga Malaysia’ yang diterapkan Ismail Sabri, setakat ini sudah terbukti cemerlang dan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri akan mendatangkan pelbagai faedah kepada negeri Sabah, berdasarkan inisiatif-inisiatif yang sudah dilaksanakan untuk ‘Negeri Di Bawah Bayu’ itu.

“Beliau (Perdana Menteri) yang pertama dapat menjayakan kelulusan pindaan Perlembagaan untuk menaikkan taraf Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Semenanjung. Yang kedua, beliau telah memberikan komitmen untuk menyiapkan Projek Lebuh Raya Pan Borneo dalam jangka masa lima tahun.

“Selain itu beliau juga sedang berusaha untuk mengkaji semula pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Jadi ini semua menunjukkan bagi PBRS, Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri yang bagus untuk Sabah,” katanya.

Naib Presiden MIC Datuk M. Asojan pula berkata dasar-dasar yang dilaksanakan Ismail Sabri sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, telah diterima baik bukan sahaja dalam kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), malah keseluruhan rakyat di negara ini termasuk pemimpin pembangkang.

“Dalam suasana politik sekarang, rakyat mahukan pentadbiran yang aman, tenang dan tidak terpalit dengan pelbagai isu,” katanya.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula berkata keputusan tersebut membuktikan bahawa, kepimpinan tertinggi UMNO sentiasa mengutamakan masa depan parti serta demi kestabilan kerajaan, untuk menjamin masa depan yang lebih baik buat rakyat dan negara.

“Ini sudah semestinya memberi peluang dan ruang secukupnya kepada Perdana Menteri, untuk beliau memberi fokus kepada hala tuju pentadbiran kerajaan.

“Bagi Wanita UMNO, kami memberi komitmen untuk terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti pada PRU15,” katanya.

Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan UMNO itu, memperlihatkan tahap solidariti luar biasa UMNO untuk berdepan PRU15, serta mencerminkan sikap pemimpin UMNO yang lebih mengutamakan kepentingan negara dan parti, melebihi kepentingan peribadi.

“Keputusan mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon sudah tentu dapat mewujudkan elemen kestabilan bukan sahaja kepada imej parti, malah memperkukuhkan perspektif luar kepada masa hadapan politik Malaysia.

“Keputusan ini memberikan ruang yang luas kepada Perdana Menteri, untuk menyusun dan merencana agenda bagi memenangi hati dan minda rakyat, untuk memberikan sokongan kepada UMNO ketika menghadapi PRU15 nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pelantikan semula Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas PRU15, akan membolehkan beliau meneruskan usaha-usaha memulihkan ekonomi kesan COVID-19.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan berkata kepimpinan Ismail Sabri ketika ini, disenangi semua pihak termasuk dari kem pembangkang dan keputusan UMNO itu mampu meneruskan kestabilan politik di negara ini.

“Kejayaan negara kita bergantung kepada kestabilan politik dan hari ini kita lihat seorang pemimpin walaupun dicadangkan oleh UMNO sebagai perdana menteri, tetapi diterima oleh semua lapisan masyarakat. Saya lihat parti-parti lain juga terima dia sebagai calon perdana menteri.

“Saya percaya ini akan membawa negara kita sehingga tahap yang lebih tinggi, dengan kestabilan politik berterusan. Pengumuman yang dibuat UMNO itu sangat dialu-alukan oleh MIC,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Zakat Wakalah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di Dewan Merdeka Tapah, Perak di sini hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy pula berkata keputusan MT UMNO itu, memberi impak positif kepada parti yang sedang giat melakukan gerak kerja untuk menghadapi pilihan raya.

Katanya kewibawaan Ismail Sabri juga terserlah, apabila berjaya mewujudkan kestabilan politik dan keharmonian hubungan antara kerajaan serta parti pembangkang, yang memberi kesan langsung kepada kelancaran pentadbiran negara.

“Saya berpendapat pencalonan itu mampu meneruskan kesinambungan pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan yang sedang rancak dilaksanakan ketika ini, terutama dalam usaha memulihkan kembali ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, keputusan berkenaan juga amat tepat pada masanya apabila meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya berlandaskan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

“Saya menyokong penuh keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada PRU15,” katanya.

-- BERNAMA