PAS konsisten dokong Kerajaan Persekutuan - Takiyuddin

Datuk Seri Takiyuddin Hassan

18/04/2022 11:33 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- PAS sepanjang masa amat konsisten dengan pendirian mendokong dan memperkuat Kerajaan Persekutuan yang diterajui bersama oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR). 

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata PAS juga melalui pendekatan politik matang dan sejahtera sentiasa komited dan sedia berbincang dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

“Apa yang penting dalam era pascapandemik ini adalah kepentingan rakyat dan negara diutamakan,” katanya. 

Takiyuddin berkata PAS amat yakin pendekatan penyatuan ummah yang boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera adalah formula yang paling berkesan serta akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia. 

Beliau berkata PAS mengucapkan terima kasih atas kenyataan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu yang mengesahkan bahawa PAS tidak mempunyai sebarang hubungan dan sekali gus tidak akan menjalin kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan dalam pendekatan ‘Khemah Besar’ bagi menghadapi PRU15 nanti. 

Mohamad dalam kenyataannya hari ini berkata pendekatan 'khemah Besar' yang dianjur Amanah tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu UMNO, Bersatu atau PAS.

-- BERNAMA