SUPP bersedia untuk TDC - Presiden

Timbalan Premier Sarawak yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (kanan) menandatangani plak perasmian Pusat Khidmat SUPP Bukit Assek di Jalan Tong Sang hari ini.

19/04/2022 02:35 PM

SIBU, 19 April (Bernama) -- Setelah sebahagian besar daripada 52 cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di seluruh Sarawak akan menyelesaikan pemilihan mereka pada hujung minggu ini, parti itu bersedia untuk Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) yang dijadualkan berlangsung di Kuching pada 21 Mei, kata Presidennya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata proses pemilihan berjalan lancar di setiap cawangan dan terdapat beberapa ahli senior memberi laluan kepada ahli lebih muda.

“Ahli senior berkata mereka memberi laluan kepada yang muda. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka. Saya menghargai mereka yang telah menyumbang kepada parti terutama ketika parti berada pada tahap kurang memberangsangkan dalam tempoh enam hingga tujuh tahun lepas,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat SUPP Bukit Assek di Jalan Tong Sang di sini hari ini, Dr Sim juga mengakui ada beberapa ahli senior yang masih mahu menyumbang kepada parti untuk beberapa tahun lagi.

“Kami mengalu-alukan mereka. Inilah budaya SUPP. Kekal bersatu daripada bergaduh sesama sendiri selepas memenangi pilihan raya,” kata timbalan premier Sarawak itu.

Beliau berkata ini penting memandangkan rakyat sudah muak dengan ahli politik yang berebut jawatan dalam parti.

“Rakyat hanya berminat apa yang anda boleh lakukan untuk mereka, untuk ekonomi, apa yang boleh anda lakukan secara sosial untuk mereka dan pembangunan. Itulah matlamat kami,” katanya.

Selepas TDC, SUPP akan bersedia untuk pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Semasa ditanya mengenai calon yang berpotensi untuk pilihan raya umum, beliau berkata mereka yang berhasrat perlu sentiasa berada di lapangan dan dekat dengan rakyat.

“Apa yang saya katakan berkali-kali ialah seseorang itu tidak seharusnya bekerja hanya selepas diumumkan sebagai calon tetapi sentiasa turun padang membantu rakyat, berkongsi wawasan dan sentiasa bersedia menunjukkan keikhlasan kepada rakyat.

“Semakin kerap berada di lapangan, akan semakin popular dan anda akan (berpotensi) menjadi calon. Itulah yang saya selalu beritahu ahli SUPP. Bersedia untuk melakukan kerja anda,” katanya.

-- BERNAMA