UMNO perlu henti bernostalgia, buka 'pancaindera' terima teguran dan kritikan - Tok Mat

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap ketika Majlis Perasmian Wacana Aspirasi UMNO di Auditorium UMNO, Menara DatoOnn hari ini. Program ini diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-76 yang dirai 11 Mei setiap tahun.

11/05/2022 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- UMNO perlu berhenti bernostalgia tentang zaman kegemilangan parti itu sebaliknya berdepan realiti dengan strategi yang sesuai serta menepati kehendak semasa, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata UMNO perlu menjadi sebuah parti yang fleksibel dan tidak pegun serta terbuka dengan segala teguran mahupun kritikan 'pedas' pelbagai pihak berkepentingan termasuk akar umbi untuk memperkukuh kedudukannya.

"UMNO mesti punyai dan asah pancaindera mendengar, buka minda serta pantulkan teguran dan kritikan orang… parti perlu bersifat berterus terang dan berlapang dada (apabila ditegur) untuk menjadi lebih baik.

"UMNO perlu buat refleksi terhadap setiap kelebihan dan kelemahan yang ada dalam parti… kita perlukan idea baharu dalam mendepani landskap politik negara yang semakin kompleks.

“Persepsi ramai termasuk anak muda melihat UMNO seolah-olah sudah 'senja' tidak secocok dengan zaman, justeru ia perlu dipersiapkan dengan strategi dan agenda mengikut zaman,” katanya ketika merasmikan Wacana Aspirasi UMNO (WAU) sempena ulang tahun ke-76 penubuhan parti itu di sini hari ini.

Wacana yang bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ itu menampilkan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Presiden Majlis Profesor Negara Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose, Presiden Alumni Parlimen Belia Malaysia Mohamad Nazrin Faiz Che Abd Aziz dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Dr Masliha Harun sebagai panel jemputan.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohamad berkata UMNO berpendapat sekarang adalah waktu yang sesuai untuk mengadakannya susulan keadaan pembangkang yang disifatkan lemah ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan PRU15 tertakluk kepada pertimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).

"Berdasarkan pendirian parti, sekarang adalah masa terbaik (untuk PRU15)… bagaimanapun, PM mungkin ada pertimbangan lain atau mungkin menunggu MoU tamat tempoh pada 31 Julai ini kerana beliau perlu menjalankan tanggungjawabnya. 

“Kita akan tunggu sehingga 31 Julai dan (daripada) situ, kita akan membincangkannya. sebagai PM, beliau mempunyai pertimbangan lain, kita tidak perlu mendesak beliau," katanya.

-- BERNAMA