Bersatu belum putuskan senarai calon PRU15 - Hamzah

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika bertemu para pengamal media pada Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

18/05/2022 08:04 PM

PUTRAJAYA, 18 Mei (Bernama) -- Belum ada persetujuan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengenai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Sebenarnya tidak ada lagi persetujuan di peringkat MPT dan saya tidak mahu membangkitkan isu ini buat masa sekarang sehingga suatu perbincangan semula dibuat," katanya.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Bersatu Terengganu meletakkan 10 calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

"Ini perkara biasa. Memang kadang-kadang ada orang yang mendahului parti dalam membuat keputusan," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitiri Kementerian Dalam Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini. 

Terdahulu, Bersatu Terengganu mengumumkan untuk meletakkan calonnya di 10 kerusi DUN yang kini dikuasai Barisan Nasional (BN) pada PRU15 dan dua kerusi Parlimen iaitu di Besut dan Hulu Terengganu.

-- BERNAMA