Bubar Parlimen: PM ulangi kenyataan tidak akan lewatkan walau sesaat jika BN sudah bersedia

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Konvensyen Barisan Nasional 2022 dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

01/06/2022 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak akan melewatkan walau sesaat pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya Barisan Nasional (BN) sudah bersedia.

Beliau berkata ia adalah sepertimana yang telah dipersetujui dan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lepas.

“Saya sebutkan bahawa apabila kita sudah siap siaga, saya tidak akan melewatkan walau sesaat pun   untuk membubarkan Parlimen. Seperti yang telah dipersetujui oleh Perhimpunan Agung UMNO bahawa saya akan bincang dengan top five dalam UMNO.

“Dan hari ini, saya setuju kita akan bincang dengan kepimpinan BN dalam menentukan tarikh (pembubaran Parlimen),” katanya ketika berucap di Konvensyen BN bersempena sambutan ulang tahun ke-48 gabungan politik itu di sini hari ini. 

Top Five merujuk kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mencadangkan tiga gerak kerja untuk dilaksanakan agar BN siap siaga menghadapi PRU15.

Ismail Sabri berkata gerak kerja pertama memerlukan parti itu untuk harus sentiasa berusaha mencapai budaya kerja kelas pertama iaitu berpasukan, berdisiplin dan kesetiaan kepada parti.  

“Pemimpin dan ahli BN yang setia bukanlah ada ketika senang sahaja namun tetap setia walau dilambung badai setinggi mana pun. Yang berada dalam dewan ini sudah teruji kesetiaannya. Seinci pun tidak berganjak dari parti walau berdepan dengan ugutan, tekanan, ancaman mahupun tawaran menggiurkan,” katanya.

Turut hadir Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi MIC Tan Sri S Vigneswaran, Pengerusi MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata elemen kedua dalam gerak kerja itu ialah memenangi hati rakyat dengan beliau sebagai Perdana Menteri akan memastikan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat.

“Selain itu, perkhidmatan yang terbaik harus diberikan kepada rakyat. Kerajaan sentiasa cakna, mengambil berat, mencari inisiatif terbaik dan segera menyelesaikan masalah setempat,” katanya. 

Beliau berkata elemen ketiga pula ialah merangka formula Strategi Kemenangan PRU15 yang memfokus kepada pemantapan jentera pilihan raya antara parti komponen.

Justeru, bersempena Konvensyen BN, Ismail Sabri berkata adalah penting untuk ikrar BN diperbaharui iaitu ikrar kepada rakyat keseluruhannya, ikrar untuk menjadi yang terbaik dan ikrar untuk meneruskan kelangsungan perjuangan memartabatkan negara tercinta Malaysia.

“Marilah kita sematkan dalam jiwa, dengan ikrar dan tekad penuh jitu, untuk memperkukuh kerjasama antara parti komponen.

“Kita juga perlu jauhi anasir-anasir luar yang sentiasa menanam bibit perpecahan sesama kita,” katanya. 

-- BERNAMA