Pimpinan parti komponen mahu hubungan dalaman BN terus diperkukuh

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika upacara menaikkan bendera pada Konvensyen BN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun BN Ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. Turut kelihatan, (dari kiri) Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran.

01/06/2022 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada bila-bila masa, pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu hubungan gabungan itu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan politik negara sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.

Presiden MIC Tan Sri S.A.Vigneswaran berkata setiap parti komponen BN perlu mengambil pengajaran terhadap nasib Pakatan Harapan (PH) yang kecundang semasa mentadbir negara sebelum ini kerana tiada kepercayaan antara mereka.

“Oleh itu, UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) seharusnya sentiasa bersama untuk mengemudi negara tetapi ini hanya dapat dilaksanakan dengan memelihara kesatupaduan kita di peringkat parti masing-masing dan juga dalam gabungan parti BN.

“Apabila keperluan semasa adalah untuk bergerak sebagai satu pasukan yang mantap, setiap ketua cawangan gabungan BN, setiap ketua bahagian gabungan BN dan setiap ahli gabungan BN harus bersedia untuk berganding bahu dan bersatu di belakang kepimpinan BN untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada sesi Ucapan Dasar Parti-parti Komponen BN bersempena Majlis Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Vigneswaran berkata setiap parti komponen tidak boleh sama sekali menampakkan percanggahan yang akan diterjemahkan oleh umum sebagai keretakan dalam kepimpinan kerana ia mampu menggagalkan naratif BN yang mementingkan kestabilan. 

“Peringkat pusat dan negeri mesti dalam usaha memperteguhkan kekuatan BN, perlu mengatasi dan mengelakkan sebarang perpecahan serius demi memastikan imej dan kewibawaan BN sentiasa terpelihara supaya terus diyakini dan diterima rakyat,” katanya.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika menyampaikan ucapan dasarnya pula berkata keluarga BN perlu terus bersama, menerap semangat setiakawan dan kekal erat selamanya.

“Apa jua perkara termasuk isu-isu sensitif kita tangani bersama-sama dalam suasana harmoni, meneruskan amalan bermusyawarah dan sentiasa mencapai keputusan secara konsensus. Inilah semangat dan prinsip BN yang perlu dipelihara sampai bila-bila,” katanya.

Menyentuh mengenai PRU15, Wee berkata walaupun BN pernah menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini namun beliau menasihatkan ahli dan pimpinan BN agar tidak leka dan lalai dengan kejayaan itu.

“Sebaliknya kita perlu terus bekerja untuk rakyat, sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan berkhidmat sebaik mungkin. Bukan hanya turun padang ketika musim pilihan raya. 

“Pengalaman tewas PRU14 perlu menjadi iktibar kepada kita semua kerana rakyat adalah yang paling berkuasa, merekalah yang mengangkat seseorang untuk berada di atas sebagai pemimpin,” katanya.

Presiden PBRS Datuk Seri Joseph Kurup berkata dalam keadaan politik kini serta PRU15, perselisihan faham bukan suatu perkara yang ingin dilihat.

“…adanya perpaduan dalam kalangan ahli-ahli BN kita akan tetap memperoleh kemenangan. Berpecah kita akan roboh,” kata Joseph.

-- BERNAMA