Friends of BN hampir pasti dicalonkan pada PRU15 - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Jun -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Konvensyen BN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun BN Ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

01/06/2022 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Friends of Barisan Nasional (BN) akan diberi peluang menjadi calon mewakili gabungan parti politik itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata peluang tersebut hampir pasti diberikan berdasarkan sumbangan Friends of BN membantu gabungan politik itu setiap kali pilihan raya.

“Mereka ini telah banyak membantu kita dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri, jadi takkanlah kita tak berunding,” katanya dalam sidang media selepas berakhir konvensyen yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-48 BN di sini hari ini.

Friends of BN dianggotai Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

 Sementara itu, semasa berucap di hadapan ribuan ahli pada konvensyen berkenaan, Ahmad Zahid menggariskan lima langkah untuk membolehkan BN melakukan anjakan paradigma dalaman sekali gus dapat menawarkan perkara yang dapat menarik kembali sokongan rakyat.

Presiden UMNO itu berkata ia penting bagi membolehkan parti bergerak ke hadapan dalam usaha mengembalikan negara ke landasan asal.

Pertama, di peringkat dalaman, beliau berkata BN mesti bersedia untuk keluar daripada kerangka lama dari segi formula pengagihan kerusi dalam menghadapi PRU15 berdasarkan prinsip WALI iaitu Winnable (boleh menang), Acceptable (boleh diterima) dan Likeable (disenangi).

Kedua, menampilkan lebih ramai muka baharu sebagai wajah hadapan BN, ketiga, bersifat inklusif dan lebih terbuka untuk menjalinkan kerjasama mahupun menerima sesiapa sahaja yang menerima prinsip BN; keempat, menawarkan agenda pembaharuan dan pembaikan bagi memperkasakan lagi tata kelola, tadbir urus dan ketelusan dalam pentadbiran. 

Kelima, mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan asal untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi dengan matlamat menjadikan negara sebagai destinasi utama pelaburan di rantau Asia Tenggara.

Dewan kemudian gamat dengan sorakan kesemua hadirin yang berdiri apabila Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengajukan soalan siapa yang mahu PRU15 diadakan segera.

“Walaupun ada yang mahukan kepastian bila pilihan raya akan diadakan, biarlah saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) berbincang bagi menentukan jeda waktu yang terbaik untuk kita menghadapi PRU15.

“PRU14 sudah lebih empat tahun berlalu. Ertinya PRU15  boleh berlangsung pada bila-bila masa. BN tidak boleh leka. Segala persiapan menghadapi PRU seharusnya sudah mencapai tahap tertinggi… Kita perlu bekerja dan bersedia untuk menang,” katanya.

Beliau yang turut ditanya mengenai perjalanan perbincangan tarikh pembubaran Parlimen dalam kalangan Top Five berkata perbincangan itu berlangsung beberapa kali namun tidak mendedahkan bila kali terakhir ia diadakan.

Top Five merujuk kepada Ahmad Zahid, Mohamad serta tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.

-- BERNAMA