Julai 2023 sesuai diadakan PRU15 - Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad

16/06/2022 06:48 PM

PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat tarikh yang sesuai bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan adalah pada Julai tahun depan.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata tarikh itu bersesuaian kerana ia merupakan penggal Parlimen ke-14 tamat.

“Kalau kita ikut jadual pilihan raya, itu tarikh yang sesuai,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pejuang Muda dan Silver Gold Collector Group di sini hari ini.

PRU15 perlu diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan September 2023, iaitu dalam tempoh 60 hari selepas penggal Parlimen kini terbubar secara automatik pada 16 Julai 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengulangi pendirian PRU15 tidak sesuai diadakan ketika ini, malah tindakan terlalu membincangkan tarikh PRU15 akan memberi kesan kepada kestabilan politik negara. 

-- BERNAMA