Lebih RM140,000 bantu pemandu teksi di Pahang - MB

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua, kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM140,800 kepada Yang Dipertua Persatuan Teksi Pahang Timur, Mat Yasin Talib (kanan) pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang Fasa 2 Kluster Pemandu Teksi Peringkat Negeri Pahang hari ini. Seramai 704 orang pemandu teksi seluruh negeri Pahang menerima bantuan RM200 secara “one off” dengan peruntukan berjumlah RM140,800. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

21/06/2022 07:51 PM

KUANTAN, 21 Jun (Bernama) -- Seramai 704 pemandu teksi di Pahang menerima bantuan wang tunai RM200 secara sekali beri, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM140,800.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri sentiasa mementingkan kebajikan dan akan berbuat sehabis baik bagi membantu rakyat.

“Ini merupakan bantuan bersasar, kita pastikan tak ada sesiapa yang tertinggal kerana ada jawatankuasa yang memantau. Kerajaan negeri akan teruskan lagi dengan kluster lain,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Fasa 2 Kluster Pemandu Teksi.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat mangsa banjir yang belum menerima bantuan wang ihsan, Wan Rosdy berkata meminta mereka yang berkemungkinan tertinggal untuk melaporkan kepada Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan jika mereka layak, kerajaan negeri akan memberikannya.

Sementara itu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkata pembahagian kerusi bersama PAS masih belum dibincangkan, dan membayangkan akan terdapat perubahan calon yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Berkenaan calon belum fikir lagi, yang pasti tidak pernah saya tengok PRU kalau ada 42 kerusi orang yang sama kekal, saya dah bertanding empat kali dalam PRU sejak 2004, perubahan-perubahan itu proses biasa,” katanya ketika ditanya mengenai golongan muda yang akan diketengahkan sebagai calon PRU15. 

-- BERNAMA