Calon BN DUN Tioman akui galas tugas berat pastikan parti 'seri' dengan PN

Calon-calon yang akan bertanding bagi DUN Tioman N.42 (dari kiri) Nor Idayu Hashim (Perikatan Nasional), Osman A. Bakar (Pejuang), calon Pakatan Harapan Mohd Fadzli Mohd Ramly yang hanya menghantar wakil Manan Muhamad (tengah), Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional) dan Sulaiman Bakar (Bebas) sempena PRU15 di di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Rompin.

24/11/2022 01:39 PM

ROMPIN, 24 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain mengakui dirinya menggalas tugas berat untuk mendapatkan kemenangan bagi menjadikan partinya ‘seri’ dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya kali ini. 

Keputusan PRU15 di Pahang menyaksikan BN memperolehi 16 kerusi, ketinggalan satu di belakang PN manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi, yang menyebabkan DUN Pahang kini tergantung kerana tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah 22 kerusi. 

Mohd Johari yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang berkata tumpuan kini sudah pasti terarah kepada DUN Tioman, menyebabkan dirinya perlu melakukan sebaik mungkin dalam berdepan saingan lima penjuru termasuk daripada PN. 

"Walaupun penyandang DUN Tioman, saya tidak boleh mengambil mudah cabaran calon lawan berdasarkan situasi semasa. Setiap calon ada kelebihan dan kekuatan sendiri dan saya perlu berusaha lebih baik untuk memenangi hati pengundi," katanya semasa ditemui selepas proses penamaan DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. 

Selain Mohd Johari, turut bersaing ialah Nor Idayu Hashim yang mewakili PN, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas). 

Calon wanita tunggal Nor Idayu yang merupakan Ketua Muslimat PAS Cawangan Pianggu pula optimis gelombang pengundi kepada PN di Pahang baru-baru ini akan diteruskan sehingga 7 Dis ini, sekali gus membolehkan mereka merampas DUN Tioman daripada BN. 

"Kemenangan di DUN Tioman juga dapat mengukuhkan lagi kedudukan PN di DUN Pahang. Saya sendiri kerap turun ke lapangan sebelum ini berkempen untuk parti dan berharap mereka yang mengenali saya akan terus mengundi PN pada pilihan raya ini," katanya.

Sulaiman, 57, yang memilih simbol udang kerana daerah Rompin terkenal dengan hidangan udang galah berkata penyertaannya adalah untuk membawa pembaharuan kerana berpandangan penduduk Tioman perlu mendapat lebih baik dalam aspek infrastruktur, peluang pekerjaan dan aspek pelancongan. 

Pesara guru yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan lebih dikenali sebagai King Aiman dalam kalangan penduduk setempat berkata kekurangan peluang pekerjaan di Rompin khususnya di Tioman menyebabkan tiga anaknya perlu berhijrah ke luar. 

"Saya berharap kepada undi bekas pelajar kerana saya pernah beberapa kali bertukar sekolah dalam daerah Rompin selama 34 tahun mengajar di sini. Golongan muda adalah fokus utama saya dan saya berharap pengundi luar juga akan pulang mengundi," katanya yang kini menjalankan perniagaan madu tualang. 

Calon Pejuang Osman, 66, pula mengakui tugasan getir menantinya memandangkan semua calon Pejuang pada PRU15 di Pahang hilang deposit pada PRU15. 

"Saya membesar dan kenal ramai orang di DUN Tioman... saya masih berpeluang jika ada pengundi yang membuat pilihan berdasarkan individu dan bukannya parti. 

"Kebimbangan saya adalah jika ramai tidak keluar mengundi kerana ia berlangsung pada Rabu. Tapi harapnya semua pengundi akan menghormati proses demokrasi dan keluar mengundi," katanya. 

PRU15 DUN Tioman yang sepatutnya berlangsung pada 19 Nov lepas ditangguhkan selepas calon PN Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian, dipercayai akibat serangan jantung.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Dis ini, dengan 3 Dis ditetapkan sebagai hari pengundian awal. 

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pada pilihan raya umum ke-14, Mohd Johari menang dengan majoriti 1,280 undi. 

-- BERNAMA