Ahli Parlimen Bebas dari Kudat sokong kerajaan perpaduan

Kredit: Datuk Verdon Bahanda

26/11/2022 10:56 AM

KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda yang merupakan seorang Ahli Parlimen Bebas hari ini mengesahkan sokongan beliau kepada kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Verdon berkata beliau menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Terima kasih tidak terhingga kepada masyarakat di Parlimen Kudat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui Parlimen Kudat pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) dan seperti saya janjikan dalam jelajah kempen saya, Parlimen Kudat tetap akan menjadi kawasan menyokong kerajaan.

“Ia adalah demi untuk kepentingan kawasan Parlimen kita agar kita tidak ketinggalan dalam arus pembangunan serta menjadikan Parlimen Kudat hebat semula setanding dengan kawasan yang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya beliau telah menemui Anwar di Putrajaya semalam bersama Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) Datuk Peter Anthony, Timbalan Presiden KDM Datuk Wetrom Bahanda yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu dan Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin yang juga Ahli Parlimen Bebas.

Khamis lalu (24 Nov), Peter dilaporkan berkata KDM akur dengan titah Al-Sultan Abdullah agar kerajaan perpaduan diwujudkan demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

Penamaan calon PRU15 pada 5 Nov menyaksikan Riduan mencalonkan diri bertanding di Parlimen Tenom sebagai calon Bebas, namun pada 11 Nov Peter mengesahkan penyertaan Riduan ke dalam partinya sambil menjelaskan Riduan kekal bertanding sebagai calon Bebas, namun dibantu jentera parti itu.

-- BERNAMA