PRU15: Kemenangan di Padang Serai hadiah terbaik untuk PM - Calon PH

Calon PH bagi Parlimen Padang Serai Dr Mohamad Sofee Razak bertemu dengan masyarakat setempat ketika mengadakan kempen pilihanraya Padang Serai di Taman Selasih, Kulim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

26/11/2022 02:40 PM

KULIM, 26 Nov (Bernama) -- Kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menjadi hadiah terbaik buat pengerusi gabungan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, Khamis lepas.

Calon PH bagi Parlimen Padang Serai Dr Mohamad Sofee Razak berkata untuk memastikan kemenangan tersebut, beliau bersama jentera perlu bekerja dengan lebih kuat dan tidak boleh mengambil mudah bagi memenangi hati pengundi di kawasan tersebut.

“Dalam siri kempen saya beberapa hari ini, saya merayu kepada pengundi untuk memberi peluang kepada PH untuk menang di Parlimen Padang Serai sebab ini akan jadi hadiah penduduk di sini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“... kita nampak sambutan masyarakat sangat memberangsangkan dan insya-Allah kami mengharapkan pengundi di Padang Serai akan terus memberi sokongan dan sambutan dalam tempoh berkempen ini,” katanya kepada pemberita ketika berkempen di sebuah pasar di sini, hari ini.

Khamis lalu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Dalam pada itu, Mohamad Sofee yang juga Setiausaha PH Kedah berkata beliau akan memastikan kelangsungan perkhidmatan cemerlang bekas Ahli Parlimen Padang Serai mendiang M. Karupaiya yang meninggalkan rekod prestasi yang sangat baik di kawasan itu.

Mohamad Sofee, 47, yang juga seorang peguam menggantikan calon PH sebelum ini, Karupaiya, 69, yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 Nov lepas.

Pengundian di Parlimen Padang Serai ditangguhkan ke 7 Dis ini dan undi awal 5 Dis.

Pada PRU14, Karupaiya yang mewakili PH menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.

-- BERNAMA