PH Pahang sokong untuk bersama BN bentuk kerajaan negeri

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari

26/11/2022 04:53 PM

KUANTAN, 26 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Pahang bersetuju sebulat suara untuk memberi sokongan secara rasmi bagi membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional (BN). 

Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari ,menerusi kenyataan, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat PH Pahang yang dipengerusikannya hari ini. 

"Kami berharap kerajaan negeri Pahang baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat dibentuk demi menjamin pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar untuk kepentingan rakyat.

“Jumlah kerusi DUN secara keseluruhan yang dimenangi oleh BN (16 kerusi) dan PH (8 kerusi) yang telah melebihi majoriti mudah,“katanya.

Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17 kerusi DUN, menyebabkan kerajaan negeri Pahang kini tergantung kerana tiada pihak yang memperoleh majoriti mudah. 

PRU15 bagi DUN Tioman pula ditangguhkan kepada 7 Dis ini ekoran kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung. 

Bagaimanapun, keputusan DUN Tioman itu kelak juga tidak membolehkan mana-mana parti memperoleh majoriti mudah. 

-- BERNAMA