Gerakan minta ahlinya fokus PRN tahun depan - Dominic Lau

Presiden Nasional Parti GERAKAN Rakyat Malaysia Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (Gambar fail)

26/11/2022 05:06 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai meminta ahlinya supaya mula memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan di enam negeri pada tahun depan.

Lau berkata selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir jentera parti itu kini bersedia menghadapi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Beliau juga berkata pada  PRU15 baru-baru ini, sokongan pengundi terhadap parti itu dan Perikatan Nasional (PN) meningkat.

"Kami mendapati bahawa 34 peratus pengundi kali pertama, terutama orang Melayu, telah memberi undi dan sokongan kepada PN.

Selain itu, undi diperoleh daripada rakyat juga meningkat kepada calon Gerakan pada PRN Melaka dan Johor lepas," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat kajian semula pasca PRU15 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Lau berkata parti berkenaan juga akan berkempen membantu calon PN di kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Pahang yang ditangguhkan sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian pada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding hingga pukul 11.59 malam 6 Dis bagi kerusi itu.

-- BERNAMA