PRU15 Padang Serai: Calon BN teruskan kempen

Calon Bariasan Nasional Parlimen Padang Serai Datuk Sivaraj Chandran bertemu dengan para pelajar ketika walkabout di hadapan Kolej tingkatan 6, Taman Mahsuri ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 di sini. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

30/11/2022 07:37 PM

KULIM, 30 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj berkata beliau tidak menerima sebarang arahan daripada kepimpinan tertinggi parti untuk memberi laluan kepada calon lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan itu, 7 Dis ini.

Justeru, Sivaraj berkata beliau akan meneruskan kempennya walaupun calon Pakatan Harapan (PH) Dr Mohamad Sofee Razak ada membuat permintaan agar BN memberi laluan sejajar dengan keputusan PH memberi laluan kepada calon BN di pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang.

"Saya belum dihubungi oleh kepimpinan berkenaan apa-apa keputusan setakat ini dan saya akan meneruskan kempen seperti biasa dengan lebih agresif, jadi setakat ini tidak ada apa-apa yang diputuskan oleh kepimpinan dan dimaklumkan kepada saya.

“Jadi saya akan teruskan kempen sehinggalah ada keputusan dan saya akan bincang dengan kepimpinan. Tapi sepatutnya PH yang beri laluan kepada kita sebab saya sudah  tiga tahun bekerja di sini dan mengenali kebanyakan pengundi di sini," katanya ketika ditemui berkempen, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan PH yang memberi laluan kepada calon BN di pilihan raya DUN Tioman dan sama ada perkara sama akan dipersetujui pada pilihan raya Parlimen Padang Serai.

Sementara itu, Mohamad Sofee berkata PH perlu bekerja keras untuk mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai sekiranya BN enggan berkompromi memberi laluan kepada PH pada pilihan raya 7 Dis ini.

"Satu tugas besar kepada saya untuk memastikan PH menang di sini dan teruskan kecemerlangan ditinggalkan mendiang M. Karupaiya (penyandang Ahli Parlimen Padang Serai).

Seperti mana berlaku di Tioman, PH kompromi kepada BN, cuma kita harap perkara itu boleh berlaku juga di Padang Serai iaitu untuk BN beri laluan kepada PH pula," katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Sofee berkata beliau tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan calon BN berhubung perkara itu dan merasakan ia tanggungjawab pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Semalam, Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju calonnya yang mewakili PH memberi laluan kepada calon BN pada PRU15 bagi kerusi DUN Tioman.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata keputusan itu sebagai tanda kesepakatan serta memperkukuh kerajaan perpaduan di peringkat negeri Pahang dan nasional.

-- BERNAMA