PRU15 DUN Tioman: Calon perhebat kempen, manfaat tempoh yang ada

03/12/2022 08:09 PM

ROMPIN, 3 Dis (Bernama) -- Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dilihat memperhebatkan kempen masing-masing bagi meraih sokongan pengundi ketika tempoh berkempen berbaki tiga hari lagi. 

Bagi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Johari Hussain, hari-hari terakhir kempen disifatkan sebagai waktu kritikal lebih-lebih lagi beliau menggalas tugas berat mempertahankan kerusi DUN berkenaan. 

Mengambil kira situasi semasa iaitu kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di Pahang, Mohd Johari berkata beberapa gerak kerja dan program diadakan secara bersama sejak beberapa hari lepas.

"Kita juga mula menganjurkan program bersama yang saya anggap sangat penting untuk memperlihatkan kerjasama (BN dan PH) bagi memenangkan BN," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin hari ini.  

Pada 28 Nov lepas, PH menerusi Parti Amanah Negara (Amanah) memaklumkan pendirian memberi laluan kepada calon BN di DUN Tioman memandangkan mereka bekerjasama membentuk kerajaan negeri, selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi pada PRU15.

Calon PH pada pilihan raya itu, Mohd Fadzli Mohd Ramly adalah daripada Amanah.   

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim berkata setakat ini, 70 peratus daripada perancangan program kempennya sudah dilaksanakan melibatkan pertemuan bersama pengundi di semua lokaliti DUN Tioman. 

Calon wanita tunggal pada pilihan raya itu, mengakui jadual kempennya sangat padat dan bantuan jentera parti termasuk dari luar Rompin banyak membantu dirinya yang pertama kali bertanding.

"Setakat ini, maklum balas pengundi terhadap PN juga sangat bagus tetapi sudah pasti kami tidak mengambil mudah, sebaliknya akan lebih kerap kempen dalam tempoh yang ada untuk mendapat sebanyak mungkin sokongan," katanya. 

Pesara guru, Sulaiman Bakar pula mengakui dirinya berhadapan cabaran besar selaku calon Bebas pada pilihan raya itu, tetapi masih berharap akan mendapat sokongan pengundi supaya dapat membawa perubahan di DUN Tioman. 

Antara perubahan yang beliau mahu lakukan ialah membawa lebih banyak peluang pekerjaan ke Rompin, khususnya di DUN Tioman supaya golongan mudanya tidak perlu keluar mencari nafkah di luar daerah. 

Beliau yang menggunakan simbol udang dan berkempen dengan bertemu pengundi dalam skala kecil,  juga mengakui semakin gementar memandangkan hari pengundian semakin hampir. 

PRU DUN Tioman ditangguhkan ke 7 Dis ini susulan calon PN Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada hari pengundian PRU15, 19 Nov lepas dipercayai akibat serangan jantung. 

Selain Mohd Johari, Mohd Fadzli, Nor Idayu dan Sulaiman, DUN itu turut ditandingi Osman A Bakar  mewakili Pejuang. 

Walaupun PH telah membuat kenyataan memberi laluan kepada calon BN, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan nama Mohd Fadzli masih tertera di kertas undi kerana status pencalonan tidak boleh diubah selepas tempoh penamaan ditutup. 

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 243 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Hari ini, 95.88 peratus daripada 243 pengundi awal berdaftar selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing di dua pusat pengundian awal iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin dan Balai Polis Tekek, Pulau Tioman. 

-- BERNAMA