PRU15 Tioman: Pengundi boleh mohon pelepasan daripada majikan

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pemeriksaan peralatan untuk mengundi sebelum diedarkan kepada pusat-pusat mengundi seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Tioman sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Rompin.

06/12/2022 02:14 PM

ROMPIN, 6 Dis (Bernama) -- Pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman boleh meminta pelepasan daripada majikan mereka untuk keluar mengundi esok. 

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek berkata hari pengundian yang jatuh pada hari bekerja tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada mereka untuk menunaikan tanggungjawab itu. 

"Saya cadangkan kepada pengundi untuk keluar mengundi dan hadir mengikut waktu yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya kepada Bernama selepas meninjau persiapan akhir SPR di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. 

Ahmad Nasim berkata peti undi dari Pulau Tioman akan dibawa ke tanah besar untuk dihantar ke pusat penjumlahan rasmi undi menggunakan helikopter, selain perancangan juga dibuat untuk pengangkutan laut digunakan, jika cuaca tidak mengizinkan penerbangan beroperasi. 

"Kita bekerjasama dengan Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot mereka sedia digunakan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan," katanya.

Sebanyak 17 pusat mengundi akan dibuka bagi PRU15 DUN Tioman dengan lima daripadanya terletak di Pulau Tioman. 

PRU15 DUN Tioman telah ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Terdapat lima nama pada kertas undi DUN Tioman iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan), Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).  

PH sebelum ini telah memaklumkan mereka memberi laluan kepada calon BN pada pilihan raya itu, mengambil kira kerjasama dua parti itu bagi membentuk kerajaan negeri Pahang, selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi di DUN Pahang pada PRU15. 

SPR bagaimanapun memaklumkan nama Mohd Fadzli akan tetap disenarai pada kertas undi dan pengundi boleh memberi undi kepadanya kerana tiada perubahan pada status pencalonan selepas tempoh penamaan ditutup. 

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

-- BERNAMA