Tuan Ibrahim Ketua Pembangkang di DUN Pahang

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

06/12/2022 03:35 PM

ROMPIN, 6 Dis (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai ketua pembangkang mewakili gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata beliau akan memaklumkan pemilihan Timbalan Presiden PAS itu kepada Yang Dipertua DUN Pahang. 

“…. seterusnya kami mencadangkan jawatan Ketua Pembangkang di DUN ini diberikan fungsi dan status yang rasmi sebagaimana di sesetengah DUN lain dan mengikut contoh di Dewan Rakyat," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Selain itu, Saifuddin juga berkata PN turut bersetuju untuk menamakan ADUN Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus sebagai Ketua Whip di DUN Pahang. 

Pada PRU15, Tuan Ibrahim memenangi kerusi DUN Cheka dengan majoriti 1,223 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ho Fong Mee yang mendapat 4,411 undi, Rashid Mohamad (Pakatan Harapan) memperoleh 2,255 undi dan calon pejuang Aishaton Abu Bakar hilang deposit selepas hanya mendapat 81 undi.

Selain DUN Cheka, Tuan Ibrahim juga menang di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

-- BERNAMA