PN menang kerusi Padang Serai, BN pertahankan Tioman

08/12/2022 12:35 AM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai malam ini akhirnya melengkapkan keseluruhan 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada pilihan raya yang dianggap paling sengit dalam sejarah negara.

Pengundian bagi kerusi itu yang sepatutnya berlangsung pada 19 Nov lepas, ditangguhkan berikutan kematian calon disahkan bertanding iaitu M Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH) pada 16 Nov lepas dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Keputusan bagi Parlimen Padang Serai menyaksikan Perikatan Nasional (PN) meneruskan penguasaan majoriti kerusi Parlimen di Kedah selepas calon gabungan itu Datuk Azman Nasrudin memenangi kerusi yang merupakan kubu kuat PKR itu dengan memperoleh 51,637 undi dalam pertembungan enam penjuru.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan PN hampir “menyapu bersih” kerusi Parlimen di Kedah apabila memperoleh 14 daripada 15 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri berkenaan, setelah tewas tipis di Sungai Petani dengan majoriti 1,115 undi kepada calon PH.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, menewaskan calon PH Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, Datuk C. Sivaraj (Barisan Nasional - BN) memperoleh 2,983 undi dan calon Bebas Sreanandha Rao mendapat 846 undi.

Dua lagi pencabar iaitu calon Pejuang Hamzah Abd Rahman mendapat 424 undi dan calon Warisan Mohd Bakhri Hashim hanya memperoleh 149 undi.

Sebelum ini, atas dasar permuafakatan Kerajaan Perpaduan, BN bersetuju untuk memberi laluan kepada calon PH pada PRU15 Parlimen Padang Serai manakala Warisan menarik diri daripada bertanding bagi merebut kerusi berkenaan serta turut menyatakan sokongan kepada Mohamad Sofee.

Bagaimanapun, nama Sivaraj dan Mohd Bakhri kekal dalam kertas undi Parlimen Padang Serai berdasarkan Perkara 9 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, iaitu tiada seorang pun calon boleh menarik balik pencalonannya selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan.

Susulan kemenangan ini, menjadikan keseluruhan kerusi Parlimen yang dimenangi PN sebanyak 74, PH (82), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu.

Hari ini turut menyaksikan hari pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang ditangguhkan berikutan kematian calon PN Md Yunus Ramli, beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15 pada 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

BN berjaya mempertahankan kerusi terakhir di DUN Pahang itu apabila calonnya Datuk Seri Mohd Johari Hussain menang dengan majoriti tipis 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon PN Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi. 

Tiga lagi calon iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly daripada PH mendapat 784 undi, Osman A Bakar (Pejuang) 79 undi dan Sulaiman Bakar (Bebas) yang hanya memperoleh 58 undi. 

Keputusan itu menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN yang dimenangi BN sama dengan PN iaitu masing-masing 17 kerusi manakala baki lapan kerusi lagi milik PH.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak mengubah kedudukan Kerajaan Negeri Pahang kerana BN dan PH telah menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri yang turut diperkenan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Kerjasama itu juga menyaksikan PH menerusi Parti Amanah Negara (Amanah) memberi laluan kepada calon BN pada PRU15 DUN Tioman, namun nama Mohd Fadzli masih disenaraikan pada kertas undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan peratusan keluar mengundi bagi Parlimen Padang Serai sebanyak 68.95 peratus manakala DUN Tioman 58.39 peratus.

Sebanyak 46 pusat mengundi dan 230 saluran dibuka bagi proses pengundian di Parlimen Padang Serai manakala DUN Tioman pula membabitkan 17 pusat mengundi dan 52 saluran.

-- BERNAMA