Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi - Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin

11/12/2022 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri Datuk Seri Hajiji Noor dan pengikutnya mengumumkan keluar daripada parti, semalam. 

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini berkata badan pimpinan negeri, bahagian dan cawangan Bersatu Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan hanya MPT mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut mengumumkan Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Sabah.

“Beliau bertanggungjawab menyelia dan menguruskan Bersatu negeri Sabah dan PN negeri Sabah sehingga penyusunan semula Bersatu dan PN negeri Sabah diputuskan oleh MPT Bersatu dan Majlis Tertinggi PN,” katanya.

Muhyiddin turut menyuarakan kekecewaannya dengan sikap bekas pemimpin Bersatu Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang meletakkan mereka pada kedudukan tinggi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Saya percaya ahli-ahli Bersatu di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam Bersatu yang merupakan parti komponen PN di peringkat Persekutuan,” katanya.

Mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertanding menggunakan logo Gabungan  Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, Muhyiddin berkata kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, kepimpinan Bersatu Sabah yang diketuai Hajiji mengumumkan keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS.

-- BERNAMA