Tahun 2022 beri sinar harapan kepada ekonomi dan perniagaan

12/12/2022 10:23 AM

Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pelbagai peristiwa suka duka mewarnai tahun 2022 sama ada di peringkat global mahupun tempatan yang mana antaranya rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi yang menyaksikan pembentukan kerajaan baharu manakala perang Ukraine-Rusia yang masih berlarutan terus membawa kemusnahan dan mengorbankan banyak nyawa.

Namun 1 April, 2022 merupakan tarikh keramat bagi Malaysia apabila negara akhirnya membuka semula sempadannya selepas dua tahun ditutup akibat penularan pandemik COVID-19. 

Ia bermakna negara secara rasminya memasuki 'peralihan ke fasa endemik’ dan rakyat serta perniagaan boleh kembali semula kepada kehidupan normal mereka seperti sebelum pandemik selepas hidup dalam ketidakpastian sejak 2020 akibat daripada langkah sekatan pergerakan sepanjang pandemik. 

Pembukaan semula sempadan itu ibarat sinar di hujung terowong bagi negara, walaupun Malaysia, seperti negara-negara lain di seluruh dunia, terus berdepan dengan cabaran yang disebabkan oleh ketidaktentuan luaran seperti perang Ukraine-Rusia, kemeruapan harga minyak mentah global, kelembapan ekonomi China disebabkan sekatan COVID-19 yang ketat dan kebimbangan inflasi. 

Di dalam negara, pembentukan kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dapat memulihkan semula keyakinan rakyat dan para pelabur. 

Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan perpaduan di bawah pentadbirannya akan memastikan kestabilan negara dan juga ekonomi serta mendukung semangat Perlembagaan Persekutuan. 

Beliau juga berkata Bajet 2023 akan disemak semula dan diubah suai dengan mengambil kira pandangan Kementerian Kewangan dan Kabinet.

Pada 7 Okt, 2022, Menteri Kewangan pada masa itu Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah membentangkan Bajet 2023 bernilai RM372.3 bilion, peruntukan terbesar dalam sejarah Malaysia. Tiga hari kemudiannya pada 10 Okt, Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 Nov, 2022. 

 

Pembukaan semula sempadan rangsang pertumbuhan KDNK

Ekonomi Malaysia mula menunjukkan petanda pemulihan pada suku pertama 2022 apabila keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 5.0 peratus tahun ke tahun berikutan pelonggaran langkah-langkah membendung COVID-19 yang seterusnya membawa kepada peningkatan permintaan domestik dan aktiviti ekonomi yang kembali normal.  

Susulan pembukaan semula sempadan ditambah dengan pengeluaran khas wang sebanyak RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), KDNK negara terus berkembang pesat sebanyak 8.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, mengatasi beberapa negara maju dan serantau termasuk China (0.4 peratus), Amerika Syarikat (1.6 peratus), Kesatuan Eropah (4.0 peratus) dan Singapura (4.4 peratus).

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), prestasi tinggi suku kedua itu disokong oleh pengukuhan permintaan domestik berikutan pemulihan pasaran buruh dan sokongan daripada dasar, meskipun kesan asas rendah daripada sekatan pergerakan penuh tahun lepas.

Pada suku ketiga, KDNK Malaysia mencatatkan kadar lebih kukuh pada pada 14.2 peratus, pertumbuhan paling pantas dalam kalangan negara-negara ASEAN lain kerana ia disokong oleh peningkatan berterusan permintaan domestik, eksport kukuh produk elektrik dan elektronik (E&E) serta bukan E&E, sokongan dasar kerajaan serta pemulihan pasaran buruh, yang mana kadar pengangguran susut ke paras terendahnya pada 3.6 peratus pada Septermber 2022 daripada paras kemuncak 5.3 peratus pada Mei 2020 semasa pandemik.

Memandangkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 yang mana KDNK berkembang sebanyak purata 9.4 peratus tahun ke tahun, Ganebor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Yunus menjangka pertumbuhan tahun penuh 2022 melebihi sasaran 7.0 peratus yang diunjurkan sebelumnya, dan ekonomi diunjur berkembang sebanyak 4.0-5.0 peratus pada 2023.

Bagi pelaburan langsung asing (FDI) pula, data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia  (DoSM) menunjukkan ia berkembang kepada RM860.8 bilion pada akhir suku ketiga 2022 berbanding RM763.20 bilion pada suku ketiga 2021, dengan sumber bagi FDI disumbang terutamanya dari Singapura (20.6 peratus), Amerika Syarikat (11.5 peratus) dan Hong Kong (10.7 peratus).

Mengenai eksport, statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan dari Januari hingga Oktober 2022, eksport Malaysia meningkat 28.5 peratus tahun ke tahun kepada RM1.29 trilion berbanding RM1.0 trilion pada tempoh yang sama tahun lepas manakala import melonjak 35.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.08 trilion daripada RM801.0 bilion sebelumnya dengan lebihan perdagangan naik  1.3 peratus tahun ke tahun kepada RM205.61 bilion berbanding RM202.91 bilion.

 

Inflasi, punca kenaikan kadar faedah

Semuanya bermula di Amerika Syarikat (AS) apabila indeks harga penggunanya melonjak sejak awal tahun hingga mencecah paras tertinggi dalam 41 tahun pada 9.1 peratus pada Jun 2022.

Untuk menurunkan inflasi yang sangat tinggi itu, Rizab Persekutuan AS secara agresif menaikkan kadar faedah selama enam kali berturut-turut sejak Mac tahun ini dengan jumlah peningkatan sebanyak 375 mata asas. Ini telah menyebabkan kadar penanda aras mencecah julat 3.75-4.00 peratus pada November 2022 daripada julat 0-0.25 peratus pada Mac 2022.

Berbanding dengan AS, inflasi di Malaysia secara relatifnya sederhana yang menyaksikan inflasi utama dan teras meningkat secara sederhana kepada 2.8 dan 2.5 peratus pada suku kedua daripada 2.2 dan 1.7 peratus pada suku pertama, mencerminkan peningkatan dalam keadaan permintaan di tengah-tengah persekitaran kos yang tinggi, dengan kenaikan harga terutamanya didorong oleh harga makanan.

Bagaimanapun, inflasi terus meningkat lebih tinggi pada suku ketiga dengan inflasi utama meningkat kepada 4.5 peratus manakala inflasi teras meningkat kepada 3.7 peratus. Ia terutamanya didorong oleh kesan asas daripada diskaun ke atas bil elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga 2021, serta peningkatan berterusan dalam inflasi teras dan barangan yang harganya tidak menentu.

Walaupun Nor Shamsiah menjangkakan inflasi utama akan memuncak pada suku ketiga, beliau mengunjurkan inflasi akan terus kekal tinggi menjelang akhir tahun dan memberi jaminan bahawa Malaysia tidak menjangkakan kemelesetan pada 2023, sejajar dengan peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), memandangkan kenaikan kadar faedah Fed AS yang cenderung untuk meningkat dan peningkatan inflasi di Malaysia, BNM tidak dapat mengelak daripada mengetatkan kadar faedah penanda aras sebanyak suku mata dalam mesyuarat Mei 2022 kepada 2.0 peratus.

Ini merupakan kenaikan OPR pertama sejak bank pusat mengekalkan kadar itu pada paras terendah bersejarah 1.75 peratus pada 7 Julai 2020.

Selepas itu, BNM terus menaikkan OPR sebanyak 0.25 peratus masing-masing pada Julai, September dan November, untuk mengakhiri tahun 2022 dengan 2.75 peratus.

 

Subsidi dijangka cecah RM80 bilion pada 2022, peruntukan terbesar dalam sejarah 

Untuk menangani inflasi dalam persekitaran lonjakan harga minyak mentah dengan penanda aras minyak mentah Brent pernah mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun pada US$123.21 setong pada Mac 2022, kerajaan telah menyediakan pelbagai subsidi penggunaan yang terdiri daripada petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) , minyak masak, tepung dan elektrik untuk mengurangkan tekanan inflasi ke atas rakyat.

Jumlah subsidi dijangka mencecah RM80 bilion pada 2022, yang merupakan jumlah terbesar dalam sejarah Malaysia.

Selain itu, Kementerian Kewangan berkata sehingga akhir Jun 2022, hutang luar negara Malaysia telah meningkat kepada RM1.128 trilion atau 65.9 peratus daripada KDNK, terutamanya disumbangkan oleh peminjaman antara bank yang lebih tinggi dan kesan penilaian kadar pertukaran mata wang asing berikutan kejatuhan nilai ringgit, terutamanya berbanding dolar AS.

“Pada 2021, ia berjumlah RM1.082 trilion atau 70 peratus daripada KDNK,” kata kementerian itu dalam laporan Tinjauan Fiskal 2023 dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan pada Oktober 2022.

Kementerian Kewangan berkata menjelang akhir 2023, hutang keseluruhan diunjurkan sebanyak 65 peratus daripada KDNK, manakala hutang berkanun berada pada 63 peratus kerana pinjaman yang besar berikutan peruntukan yang lebih tinggi untuk perbelanjaan pembangunan dan jumlah obligasi pembiayaan semula hutang matang yang tinggi, termasuk penebusan bon 1MDB.

Dari segi defisit fiskal, Kementerian Kewangan menjangkakan ia berkurangan kepada 5.5 peratus daripada KDNK pada 2023 daripada 5.8 peratus daripada KDNK pada 2022.

“Defisit fiskal dijangka stabil secara perlahan-lahan dengan baki keseluruhan berada pada purata  4.4 peratus daripada KDNK bagi tempoh Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana 2023-2025,” katanya.

-- BERNAMA