Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Bukti Kerajaan Stabil Dan Kuat - Anwar

14/05/2023 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 hari ini memberi isyarat jelas bahawa Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil sokongan 19 parti politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah stabil. 

Berucap buat julung kali di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini selepas 25 tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isyarat kestabilan itu bukan sahaja kepada rakyat, malah kepada dunia. 

"Kerajaan ini bukan sahaja stabil, tapi akan kekal sehingga PRU akan datang," katanya dalam Amanat Perdana sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di sini hari ini yang dihadiri lebih 3,500 perwakilan. 

Anwar yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata kejayaan penganjuran konvensyen hari ini juga sekali gus menidakkan “cakap-cakap” bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya sejak enam bulan lalu tidak dapat bertahan. 

"Kerajaan Perpaduan kuat, yang mengigau masih mengigau. Kerajaan Perpaduan kuat untuk melaksanakan janji kepada rakyat," katanya.

Anwar berkata pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas tiada parti yang memperoleh majoriti mudah pada PRU15, malah merupakan usaha untuk menstabilkan semula negara. 

"Ini adalah usaha bersama, bukan isu Anwar tapi isu komitmen pimpinan yang mempunyai wawasan dan komitmen untuk membela nasib rakyat.

Terima kasih kerana sokongan, kerana saya tak mungkin dapat lakukan apa-apa untuk negara kalau tiada semangat perpaduan yang diperlihatkan secara serius oleh 148 Ahli Parlimen," kata Anwar yang juga Pengerusi  Pakatan Harapan. 

Beliau juga memuji semua pemimpin politik yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan kerana sanggup melupakan pertarungan lalu serta memaafkan segala kenyataan sebelum ini yang dibuat dalam suhu fobia terhadap parti lain.

"Saya tabik Kerajaan Perpaduan ini kerana tidak ada agama, budaya dan doktrin politik bersatu tanpa matlamat, ada yang bersatu untuk teruskan cara lama, punggah kekayaan dan khazanah negara, tapi kita bersatu untuk meninggalkan kekacauan dan kerosakan lama untuk membentuk Malaysia baharu," katanya. 

Pada konvensyen itu, Anwar juga menerima plak Tekad Wanita dan Tekad Pemuda Kerajaan Perpaduan masing-masing daripada Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Nancy Shukri serta Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Dr Muhamad Akmal Saleh.

Selain itu, beliau juga menandatangani Tekad Buat Malaysia yang sebelum itu dibacakan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Tekad itu menyenaraikan lima ikrar parti-parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat dengan memastikan peningkatan pendapatan melalui peluang usaha dan pekerjaan diperbanyakkan dalam semua sektor.

Ia juga mahu menjamin rakyat mendapat akses kepada pembelajaran dan perkhidmatan kesihatan yang tidak membebankan.

Selain itu, tekad tersebut turut berikrar untuk meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan dengan memastikan ketirisan perbelanjaan kerajaan dapat dihapuskan dan manfaat usaha pembangunan benar-benar dapat dirasai oleh rakyat terbanyak.

Tekad itu juga meletakkan azam untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mengembalikan keyakinan pelabur yang akan meningkatkan kemakmuran negara dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ikrar kelima dalam tekad itu adalah untuk memastikan kerukunan hidup masyarakat majmuk dengan pendekatan keterangkuman yang menyatukan pelbagai kaum, agama dan wilayah dikembangkan bagi memastikan kestabilan negara dan perpaduan rakyat.

-- BERNAMA