Prn: Agensi Berkaitan Diminta Bantu Pastikan Orang Asli Keluar Mengundi

Timbalan Ketua UMNO Gua Musang Mohd Syahbuddin Hashim (empat, kanan) menyantuni warga emas masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar sempena Program Jok Wek Maduh Jehwoh Karnival Sukan MADANI Dun Galas di Pos Blau di sini. Semua agensi berkaitan diminta membuat perancangan teliti bagi memastikan masyarakat Orang Asli di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini dapat menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti. Tiga DUN terlibat ialah Galas, Nenggiri dan Paloh.

18/07/2023 03:43 PM

GUA MUSANG, 18 Julai (Bernama) -- Semua agensi berkaitan diminta membuat perancangan teliti bagi memastikan masyarakat Orang Asli di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini dapat menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.

Tiga DUN terlibat ialah Galas, Nenggiri dan Paloh.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Mohd Syahbuddin Hashim berkata perkara itu berikutan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), statistik menunjukkan hanya 70 peratus daripada 10,000 masyarakat Orang Asli yang layak mengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

“Mungkin kerana kedudukan di kawasan pedalaman yang memerlukan kenderaan, logistik untuk membawa mereka ke pusat-pusat mengundi, selain kedudukan kampung yang jauh.

“Agensi yang terlibat sebaiknya membuat perancangan lebih proaktif dan perlu mengambil kira segala kemungkinan yang akan berlaku berdasarkan pengalaman PRU15 yang lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Blau di sini hari ini.

Mohd Syahbuddin berkata berdasarkan statistik, DUN Galas memiliki 8,000 pengundi Orang Asli, DUN Nenggiri (2,000) dan DUN Paloh (200).

-- BERNAMA