Prn: Sukarelawan Malaysia Bawa Balik Lebih 1,500 Undi Pos Dari Singapura

13/08/2023 10:05 AM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 11 Ogos (Bernama) -- Sukarelawan Malaysia di bawah inisiatif ‘VoteMalaysia’ pada Jumaat berjaya membawa balik 1,511 lagi undi pos dari Singapura untuk enam pilihan raya negeri (PRN).

1thirdmedia Movement, adalah antara gerakan yang bekerjasama dengan UNDI18, sebuah gerakan belia Malaysia, berjaya mengutip undi pos daripada pengundi Malaysia yang bekerja dan menetap di republik itu sejak 5 Ogos lalu.

Pasukan itu telah melakukan perkara yang sama semasa Pilihan Raya Negeri Johor dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Seorang sukarelawan, Farrah Diyana Mohamad Ali berkata, mereka menggunakan strategi sama dengan mewujudkan lima zon pengumpulan meliputi kawasan tengah, timur, barat, utara dan selatan republik itu.

“Terdapat dua penghantaran ke pusat penyisihan di Kuala Lumpur kali ini melalui pengangkutan darat dan udara,” kata Farrah Diyana kepada Bernama.

“Penghantaran pertama telah dilakukan pada 9 Ogos dengan jumlah kutipan 1,494 dan yang kedua pada hari ini menerusi laluan udara,” katanya.

Sementara itu, Twitter Undi18 menyatakan, sehingga 10.30 malam 10 Ogos, jumlah semasa undi pos yang berjaya dikumpulkan sebanyak 2,171 meliputi 27.2 peratus daripada keseluruhan 7,972 pengundi pos luar negara Kategori 1B (rakyat Malaysia yang menetap di luar negara).

Tarikh akhir kertas undi pos diterima oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya ialah sebelum 5 petang pada 12 Ogos, iaitu hari pengundian di enam negeri.

Pada GE15, inisiatif VoteMalaysia ini telah berjaya membawa pulang lebih 35,000 sampul undi dari seluruh dunia, meliputi 73 peratus daripada keseluruhan sampul undi pos bagi kategori 1B.

Pada Sabtu, kira-kira 9.67 juta pemilih akan menentukan masa depan enam negeri - Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

-- BERNAMA