Pas Tidak Rayu Keputusan Petisyen Kemaman - Takiyuddin

Datuk Seri Takiyuddin Hassan

03/10/2023 02:26 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Okt (Bernama) -- PAS tidak akan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang telah membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu diambil setelah Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis mengesahkan dalam sesi pengurusan kes secara dalam talian hari ini bahawa keputusan hakim dalam kes Petisyen Kemaman adalah sama seperti keputusan dalam kes Petisyen Kuala Terengganu.

“Sehubungan itu PAS menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya berdasarkan ketetapan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan daripada keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 26 Sept lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membenarkan petisyen Barisan Nasional (BN) yang difailkan terhadap Che Alias, sekali gus membatalkan kemenangan yang dicapai PAS dalam PRU15 di Parlimen Kemaman pada 19 Nov tahun lepas.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15 dan mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM30,000 kepada pempestiyen.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini memberitahu, parti itu memfailkan petisyen pada 3 Jan lepas, memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Ahmad memaklumkan petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana pihaknya mendakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi, menewaskan Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan), masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.

-- BERNAMA